PETALING JAYA – Bersesuaian dengan perkembangan semasa, banyak istilah dan juga perkataan baharu diperkenalkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk dibiasakan dalam penggunaan harian manusia.
Menerusi perkongsian di Facebook, Malaysia Mendidik, terdapat penamaan lain yang boleh digunakan bagi menggantikan istilah jadual makan.
“Sebagai contoh makan pagi juga disebut sebagai sarapan, minum rehat pagi boleh digantikan dengan istilah kudapan.
“Makan tengah hari boleh disebut sebagai merarau, manakala penggunaan minum petang boleh digantikan sebagai cicipan serta istilah gabi merujuk kepada minum malam (supper),” katanya.
Semakan Kosmo! di DBP mendapati, istilah tersebut sebahagiannya diambil daripada bahasa sukuan untuk dijadikan sebagai perbendaharaan kata Bahasa Malaysia.
“Makan pada waktu malam biasanya disebut makan malam, walau bagaimanapun dalam bahasa sukuan Sarawak menggunakan perkataan gabi untuk makan malam, sama seperti istilah merarau yang merujuk kepada makan tengah hari oleh masyarakat sukuan tersebut,” jelas DBP. – KOSMO! ONLINE