SUNGAI GOLOK, THAILAND – Kerajaan Thailand menawarkan khidmat guaman kepada kesemua enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi sohor Kelantan termasuk penterjemah bahasa untuk proses membela diri.
Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kolonel Polis Jadsadavit Inprapan berkata, bagaimanapun, terpulang kepada suspek untuk menerima perkhidmatan yang disediakan atau mengambil peguam lain bagi membantu mereka di mahkamah.
“Setakat ini, tiada sebarang keputusan dibuat oleh mereka berhubung perkara itu (melantik peguam).
“Siasatan dijalankan dengan telus dan teliti agar keputusan terbaik dapat diputuskan mengikut undang-undang di negara ini,” katanya di sini.
Akhbar Kosmo! sebelum ini melaporkan, Jadsadavit menegaskan bahawa pihaknya sudah mempunyai bukti yang cukup dan tidak perlu untuk memanggil saksi lain bagi membantu siasatan berhubung kes penahanan enam rakyat Malaysia ekoran penemuan 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di sini baru-baru ini.
Jadsadavit berkata, penemuan pil kuda dan ujian saringan awal air kencing kesemua suspek berusia 25 hingga 34 tahun itu merupakan bukti yang paling kuat untuk menahan reman mereka dalam tempoh 84 hari atau hampir tiga bulan. – KOSMO! ONLINE