SUNGAI GOLOK, THAILAND – Siasatan kes melibatkan seorang penyanyi sohor Kelantan dan lima individu yang dicekup bersama 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di sini pada 1 November lalu sudah hampir selesai.
Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kolonel Polis Jadsadavit Inprapan berkata, pihaknya ketika ini menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) cap jari keenam-enam suspek dan jenis kandungan dadah di dalam badan mereka menerusi ujian urin.
Menurutnya, pemeriksaan cap jari itu dilakukan untuk memastikan sama ada mereka pernah melakukan kesalahan melibatkan jenayah atau sebaliknya di Thailand.
“Selepas kesemua ujian dijalankan, polis akan membuat laporan penuh sebelum menyerahkan kesimpulan yang sudah dibuat kepada pihak pendakwa raya secepat mungkin.
“Setakat ini, keenam-enam suspek memberikan kerjasama yang baik sepanjang proses siasatan dijalankan,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Polis Sungai Golok di sini semalam.
Mengulas lanjut, Jadsadavit memberitahu, kerajaan Thailand ada menawarkan khidmat guaman kepada kesemua suspek terlibat termasuk penterjemahan bahasa untuk proses membela diri.
Katanya, bagaimanapun, terpulang kepada suspek untuk menerima perkhidmatan yang disediakan atau mengambil peguam lain bagi membantu mereka di mahkamah.
“Setakat ini, tiada sebarang keputusan dibuat oleh mereka berhubung perkara itu (melantik peguam).
“Siasatan dijalankan dengan telus dan teliti agar keputusan terbaik dapat diputuskan mengikut undang-undang di negara ini,” ujarnya.
Akhbar Kosmo! sebelum ini melaporkan, Jadsadavit menegaskan bahawa pihaknya sudah mempunyai bukti yang cukup dan tidak perlu untuk memanggil saksi lain bagi membantu siasatan berhubung kes penahanan enam rakyat Malaysia ekoran penemuan 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di sini baru-baru ini.
Jadsadavit berkata, penemuan pil kuda dan ujian saringan awal air kencing kesemua suspek berusia 25 hingga 34 tahun itu merupakan bukti yang paling kuat untuk menahan reman mereka dalam tempoh 84 hari atau hampir tiga bulan.
“Serbuan dan tangkapan dijalankan mengikut prosedur tanpa mengira status suspek sama ada melibatkan individu popular atau orang biasa,” katanya.
“Kita tak kenal mereka. Setiap kes disiasat secara adil tidak kira kesalahan dadah atau jenayah lain yang dilakukan di kawasan Sungai Golok,” ujarnya.
Jadsadavit memberitahu, penemuan 6,000 biji pil kuda bersama kesemua suspek dipercayai ada kaitan dengan sindiket pengedaran dadah di Kelantan.
Katanya, jumlah dadah yang banyak itu tidak mungkin digunakan sendiri oleh kesemua suspek.
Terdahulu, seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan antara enam individu yang ditahan oleh pihak polis Thailand bersama ribuan biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok di sini.
Tiga lelaki dan tiga wanita termasuk penyanyi terbabit ditangkap polis Thailand kira-kira pukul 5 pagi pada 1 November lalu dalam satu serbuan ketika mereka berehat di sebuah bilik hotel selepas berhibur di pusat hiburan yang terletak bawah hotel tersebut.
Mereka masuk ke negara jiran itu untuk berhibur sempena cuti perayaan Deepavali. – KOSMO! ONLINE