fbpx

Malaysia kini ketandusan pelapis korporat, usahawan bumiputera berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Malaysia semakin ketandusan tokoh korporat dan perniagaan yang boleh dijadikan idola oleh golongan muda masa kini. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Mengimbau sejarah ketika negara di landa kegawatan ekonomi yang memberi kesan ketara bagi seluruh negara, kerajaan terpaksa melaksanakan suatu garis panduan yang sangat tegas dan segera bagi mengekang penyakit itu daripada terus berjangkit untuk jangka panjang. 

Kekebalan negara berdepan dengan penguncupan ekonomi yang berkaitan dengan isu global itu dapat diatasi melalui sokongan daripada semua pihak menyokong kerajaan pusat yang diterajui pada era bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed selain memiliki barisan Kabinet yang mencorakkan kestabilan politik dan ekonomi bagi mengharmonikan kehidupan masyarakat majmuk di negara ini. 

Turut menyokong segala usaha dan tindakan tersebut adalah barisan tokoh-tokoh korporat yang mengemudi empayar perniagaan masing-masing sama-sama berganding baharu mengukuhkan kedudukan ekonomi negara melalui pengalaman dan pengetahuan serta membangunkan modal insan bagi melahirkan pelapis berjaya dalam bidang tersebut. 

Sebut sahaja nama-nama popular seperti Tan Sri Tajuddin Ramli yang merupakan bekas Pengerusi Malaysia Airlines dan juga usahawan yang membangunkan sendiri syarikat Technology Resources (TRI) yang menjalankan perniagaan perkhidmatan selular Celcom, pastinya ramai yang mengenali beliau pada era berkenaan. 

Tan Sri Halim Saad pula merupakan ahli perniagaan terkemuka yang memimpin Renong/UEM Group, Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin yang memperkenalkan jenama Naza dalam bidang automotif negara serta Tan Sri Abdul Rashid Hussian yang berjaya dalam bidang perbankan. 

Sebenarnya banyak lagi nama tokoh korporat yang telah mencoret sejarah tersendiri dalam album pembangunan Malaysia. 

Kini, dalam ledakan perkembangan pantas ekonomi e-dagang, perniagaan online, kecerdasan buatan (AI) serta kejayaan ahli perniagaan baharu yang pandai mengambil peluang dalam bidang baharu itu, nama tokoh-tokoh korporat itu sudah semakin dilupakan. 

Malah jika diajukan soalan kepada golongan muda masa kini, pastinya jawapan yang diberikan sangat mengecewakan. 

Namun dalam keghairahan perniagaan berteraskan e-dagang dan online dan pembaharuan perniagaan popular seperti TikTok, Malaysia masih bertuah memiliki tokoh-tokoh perniagaan berjaya yang sehingga kini masih menyumbang tenaga dan idea untuk pembangunan ekonomi. 

Salah satunya adalah Tan Sri Azman Hashim tokoh korporat dan perbankan negara yang merupakan Pengasas dan juga Pengerusi AMMB Holdings Berhad. 

Pengasas jenama pasar raya, Mydin iaitu Datuk Wira Ameer Ali Mydin yang merupakan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad pula masih menabur bakti melalui usahanya membantu masyarakat dengan pelbagai kempen penjimatan di semua cawangan pasar raya di seluruh negara. 

Selain itu, Datuk Seri Mohd. Hilmey Mohd Taib seorang tokoh perniagaan yang aktif membangunkan syarikat HeiTech Padu Berhad (Heitech Padu) yang terlibat bidang teknologi maklumat (IT) sejak 30 tahun lalu. 

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad itu telah berjaya melakar sejarahnya yang tersendiri sebagai syarikat bumiputera terkenal dalam industri ICT negara. 

 

HeiTech Padu telah mencapai pertumbuhan yang mampan sejak 30 tahun lalu walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan pergolakan ekonomi. 

Syarikat ini secara instrumentalnya telah mengubah keperluan ICT negara sejak 1994 dan berkembang secara berterusan seiring dengan kemajuan teknologi dan era revolusi perindustrian dan digital.

 Ini membuktikan daya tahan, kesungguhan dan kebolehsuaian syarikat ini sepanjang tiga dekad yang lalu. 

HeiTech Padu sememangnya telah melalui perjalanan yang luar biasa, mengharungi pelbagai cabaran. 

Kekuatan yang berkekalan ini telah mengukuhkan legasi syarikat ini sebagai organisasi yang teguh dan berpandangan jauh. 

Namun persoalannya kini, bagaimana dengan masa depan syarikat bumiputera itu nanti? 

Dan bagaimana pula dengan hala tuju syarikat-syarikat lain dalam industri lain yang semakin tenat tertekan dengan pelbagai faktor bukan sahaja impak persekitaran ekonomi yang semakin sukar tetapi juga tekanan ‘halus’ daripada pihak yang lebih berkuasa. 

Bersandarkan kepada perkembangan tersebut, seorang pemerhati pasaran mendapati, Malaysia kini semakin ketandusan pelapis tokoh perniagaan yang berkarisma dan berwibawa untuk membangunkan empayar perniagaan masing-masing. 

Tiada lagi nama-nama usahawan ‘gah’ yang meniti bibir masyarakat menyanjungi kejayaan mereka yang boleh dijadikan idola. 

Tetapi usahawan muda, Khairul Aming yang terkenal sebagai pempengaruh dan memiliki perniagaannya tersendiri kini semakin menjadi perhatian ramai kerana idea, kreativiti serta inisiatifnya untuk membangunkan empayarnya. 

Menurut pemerhati pasaran tersebut, pelbagai faktor yang menyumbang kepada ketandusan pelapis tokoh perniagaan dan usahawan bumiputera dalam persekitaran ekonomi semasa termasuklah kecenderungan pelaksanaan pengambilalihan dan penggabungan yang sekali gus ‘mematikan’ inisiatif idea pemikiran usahawan bumiputera untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini. 

“Mereka yang kerdil dan lemah, tidak berdaya akan diambil alih mereka yang lebih berkuasa,” katanya di sini baru-baru ini. 

Menurut beliau, kumpulan usahawan ini tidak gagal dalam bidang yang diusahakan tetapi mungkin terbeban dengan tekanan yang diarahkan daripada pelbagai pihak sehingga menyebabkan mereka gagal dalam perniagaan sekali gus peluang pengambilalihan akan berlaku. 

Sehubungan itu,  beliau berharap agar satu tindakan segera perlu diambil mulai sekarang untuk terus memastikan syarikat dan usahawan bumiputera terus berdaya saing dan mampu menempuhi badai persekitaran yang sengit kini.

Jangan sampai kita kehabisan pelapis tokoh korporat dan usahawan bumiputera berjaya yang akan mencorak masa depan negara bagi manfaat cucu dan cicit kita. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI