SUBANG JAYA – Seorang lelaki meninggal dunia selepas dilanggar sebuah kereta ketika menunggu lampu isyarat dalam kejadian di Jalan Persiaran Putra Perdana, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian itu berlaku sekitar pukul 5.20 petang membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Axia dan motosikal Yamaha 135LC.
Katanya, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Hasil siasatan awal, kejadian berlaku apabila motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun sedang berhenti semasa lampu isyarat warna merah untuk membelok ke kanan.
“Secara tiba-tiba mangsa dilanggar sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia berusia 27 tahun dari arah belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemandu tersebut telah ditahan sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan.
“Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan ujian urin mendapati lelaki tersebut tidak dibawah pengaruh dadah dan alkohol,” katanya.
Jelas beliau, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan berlaku.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017-3012621,” katanya.-KOSMO! ONLINE.