fbpx

Wanita lompat ke tengah jalan, baring depan kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wanita tersebut melompat ke tengah jalan secara tiba-tiba dan terbaring di atas jalan. - X

JAKARTA – Sebilangan pemandu yang melalui Jalan Kencana di Bogor, wilayah Jawa Barat terkejut apabila seorang wanita secara tiba-tiba melompat dan berbaring di tengah jalan, lapor laman berita Radar Bogor kelmarin.

Kejadian berlaku pada Jumaat lalu sekitar pukul 11.30 pagi (waktu tempatan).

Menurut seorang pemandu kereta, Hapsari, dia ketika itu sedang memandu untuk mengambil anaknya dari sekolah.

Tiba di satu kawasan, dia terkejut apabila seorang wanita tiba-tiba melompat di hadapan keretanya dan terbaring di atas jalan.

Disebabkan bimbang ia adalah taktik jenayah baharu, Hapsari tidak berganjak dari kenderaannya dan hanya duduk di dalam kereta.

Beberapa orang kemudian dilihat menghampiri wanita tersebut, namun tiada yang berani mengangkatnya.

“Mereka seperti tidak mahu membantu mengangkatnya selama kira-kira 5 minit.

“Akhirnya, ada penunggang teksi motosikal menghampiri dan mengangkat wanita tersebut,” tambah Hapsari.

Selepas video kejadian itu tular, Ketua Kampung Kencana, Muslim Yuliantono segera membuat siasatan berhubung identiti wanita berkenaan.

Menurut Muslim, wanita itu dikenali sebagai Y dan berumur 30 tahun.

Ujarnya, wanita tersebut sebenarnya menghidap penyakit epilepsi atau gangguan sawan. Ia berlaku secara tiba-tiba tanpa mengira walau di mana seseorang itu berada.

“Ketika diserang sawan, Y secara tidak sengaja melompat dan jatuh ke atas jalan. Dia sering mengalami keadaan itu tanpa mengira lokasi,” kata Muslim. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI