PETALING JAYA – Seramai 15 pegawai Kerajaan Malaysia daripada pelbagai jabatan dan kementerian diraikan dalam satu majlis graduasi di Beijing, China setelah berjaya menamatkan program ‘ACE: Navigating the Digital Frontier for Smart Government’ yang dianjurkan secara bersama antara Universiti Multimedia (MMU) dan syarikat telekomunikasi, ZTE Malaysia.
Kesemua pegawai terlibat menjalani latihan selama sebulan di Malaysia dan lima bulan di China bermula Mei lalu bagi menguasai teknologi terkini kecerdasan buatan (AI), transformasi digital dan keselamatan siber.
Pengarah Urusan ZTE Malaysia, Steven Ge berkata, kesediaan pihaknya menganjurkan program latihan sedemikian membuktikan ZTE tidak hanya fokus kepada pembangunan infrastruktur telekomunikasi semata-mata, tetapi turut membuat pelaburan bagi pembangunan modal insan.
Menurutnya menerusi kerjasama dengan MMU, pihaknya yakin usaha tersebut mampu membantu Malaysia membina ekosistem digital yang kalis masa hadapan.
“Kami melihat ini adalah satu usaha yang baik untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja terutamanya dalam memanfaatkan teknologi 5G serta menguasai transformasi digital yang semakin kompleks,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis graduasi di Beijing, baru-baru ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Perkidmatan Awam (JPA), Yusri Razalli berkata, objektif utama program tersebut adalah menyediakan pegawai kerajaan dengan kemahiran teknologi terkini, sekali gus membolehkan perkhidmatan kerajaan terus dipertingkatkan secara efisien dari semasa ke semasa.
“Program tersebut juga selari dengan komitmen pihak terbabit untuk melihat Malaysia menjadi negara peneraju teknologi AI dan inovasi digital di Asia Tenggara,” ujarnya.