fbpx

KBS akan umum SOP baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang meneliti beberapa perkara berkaitan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula 13 hingga 26 Januari depan.

KBS menerusi siaran akhbarnya memaklumkan, pihaknya akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) dan perinciannya dalam masa terdekat.

Katanya, KBS mengambil maklum akan pengumuman Perdana Menteri berkenaan perkembangan semasa penularan Covid-19 yang berlaku  di negara ini.

Katanya lagi, keputusan itu adalah perlu bagi membolehkan Covid-19 dapat dikawal dan rantaian penularan dapat diputuskan.

“Perdana Menteri turut menyentuh beberapa perkara berkait soal aktiviti sosial termasuklah sukan berkumpulan yang tidak dibenarkan di dalam kawasan PKP.

“KBS berterima kasih atas kelonggaran yang diberikan terhadap aktiviti sukan dan rekreasi yang masih boleh diteruskan seperti dicadangkan oleh KBS,” kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, aktiviti sukan dan rekreasi masih boleh diteruskan bagi kawasan PKP dengan syarat dalam 10 kilometer radius dari tempat kediaman melibatkan aktiviti seperti berlari, berbasikal dan aktiviti bukan berkumpulan satu hingga dua orang sesama isi rumah yang sama sahaja.

“Bagi kawasan PKPB dan PKPP, SOP Sektor Sukan dan Rekreasi atau SOP Gelembung Sukan yang berkuat kuasa hendaklah dipatuhi sepanjang masa.

Sementara itu, latihan pusat sepenuh masa bagi atlet-atlet negara yang pada ketika ini sedang dijalankan secara “quarantine-based approach” akan diteruskan dengan langkah kawalan pergerakan yang lebih ketat.

Latihan tersebut mengambil tempat di Kompleks Majlis Sukan Negara Bukit Jalil, Kompleks Sukan Keramat, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, Kompleks Sukan Paralimpik Kg. Pandan dan Velodrome Nilai.

“Bagi membantu dan memberi penerangan kepada rakyat berkaitan SOP semasa, Bilik Gerakan KBS bagi pematuhan SOP Sukan dan Rekreasi akan tetap beroperasi seperti biasa melalui emel dan panggilan telefon mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI