GEORGE TOWN – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) mencatatkan perkembangan memberangsangkan sehingga suku ketiga tahun ini, sekali gus menjadi pemangkin utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri dalam tempoh lebih lima dekad penubuhannya.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, PDC telah berjaya menarik pelaburan domestik serta asing dengan pelbagai inisiatif inovatif dan pelaburan strategik.
Jelasnya, PDC juga berjaya mencipta ribuan peluang pekerjaan dan memperkukuhkan pembinaan infrastruktur negeri.
“Sehingga suku ketiga tahun ini, PDC telah mencatatkan perkembangan yang amat memberangsangkan dan menjadikan PDC sebagai peneraju dalam usaha pembangunan sosioekonomi yang mampan bagi menjana dan mengagihkan kekayaan.
“Kejayaan ini bukan sahaja meningkatkan taraf hidup rakyat tetapi juga menjadikan Pulau Pinang sebagai antara sebuah destinasi pilihan pelaburan dan perniagaan,” katanya ketika berucap dalam majlis sambutan perayaan Deepavali dan majlis ulang tahun penubuhan PDC ke- 55 di Bangunan PDC, di sini hari ini.
Menurut Kon Yeow, ketika ini terdapat empat projek PDC yang sedang dilaksanakan iaitu bangunan GBS TechSpace yang mempunyai ruang penyewaan seluas 60,000 kaki persegi dan ia telah mendapat sijil layak menduduk bangunan (CCC) pada 29 Ogos lalu.
“Kerajaan negeri juga telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan Penang Silicon Design @5KM+ yang melibatkan bangunan GBS TechSpace di Taman Perindustrian Bayan Lepas bagi menarik pelaburan dan menyokong lebih banyak syarikat reka bentuk bersepadu (IC) tempatan serta asing ke negeri ini.
“PDC juga kini dalam proses menyiapkan bangunan GBS By The Sea yang mana sehingga 1 November lalu, di mana kerja-kerja di tapak telah mencapai kemajuan sebanyak 98.9 peratus ia melibatkan ruang penyewaan berjumlah 294,000 kaki persegi,” katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, projek ketiga ialah Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP3) dan PDC menerusi Bahagian Perindustrian kini dalam proses perbincangan bersama beberapa pelabur bagi penawaran tanah di situ yang mana hanya pelabur dari ‘promoted industry’ sahaja akan ditawarkan untuk beroperasi di kawasan tersebut.
“Dengan keluasan bersih 164.7 hektar, BKIP3 merupakan taman perindustrian ke-10 itu yang dibangunkan oleh PDC dan pelabur dijangka bersedia memulakan pelaburan di kawasan tersebut pada 2026.
“Projek keempat ialah Taman Teknologi Bandar Cassia (BCTP) iaitu taman perindustrian ke 11 dibangunkan oleh PDC dan tiga syarikat multinasional (MNC) telah memulakan pembinaan di situ.
“Pada masa sama PDC kini dalam perbincangan bersama beberapa syarikat lain bagi penawaran tanah di BCTP yang mengutamakan kriteria promoted, clean and green,” katanya. -KOSMO! ONLINE