KUALA LUMPUR – Pelakon versatil Nabila Huda menyelar pendedahan tindakan segelintir pendatang baharu industri seni dan hiburan berhubung isu buli di set penggambaran sebagai mana disuarakan segelintir pelakon muda baru-baru ini.
Menurut Nabila Huda Suhaimi, 39, kenyataan yang dikeluarkan pelakon baharu itu bukan sahaja memberi impak negatif kepada industri seni tanah air tetapi menandakan ketidaksediaan individu terbabit menjadi seorang pelakon. Jika tidak bersedia untuk menghadapi cabaran dunia lakonan, Nabila menyarakan pelakon baharu berkenaan mencari kerjaya lain.
“Kenyataan yang dibuat itu sampah. Perkara peribadi tidak patut dikeluarkan. Isu buli tidak berlaku pun di set penggambaran. Selalunya kami semua gembira sahaja. Mungkin orang itu yang saya rasa tidak bersedia untuk jadi pelakon. Lebih baik anda cari kerjaya lain, pergi jadi influencer.
“Mungkin anda tidak sesuai bekerja dengan abang dan kakak di set penggambaran kerana pemikiran anda berbeza dengan kami. Mentaliti anda bukan mentaliti orang seni,” kata Nabila ketika ditemui di set penggambaran filem Gayong diadakan di TUDM, Sungai Besi hari ini.
Susulan isu buli di set penggambaran, pelakon Nabila Huda menasihati pendatang baharu supaya tidak memberi sebarang kenyataan yang boleh memberi impak negatif terhadap industri seni tanah air. Jelasnya, setiap anak seni terutama bergelar pelakon berusaha keras untuk menempah nama dalam industri.
“Setiap pelakon bersungguh-sungguh untuk bina nama, semua sayang dengan kerjaya mereka. Jangan disebabkan kenyataan anda itu buat orang pandang buruk dengan kami (pelakon). Berhenti buka pekung sendiri kepada orang luar, jangan biar orang pandang buruk pada kita,” tutur Nabila.
Menyifatkan pelakon zaman kini terlalu manja, Nabila mengakui, satu ketika dahulu dia juga pernah dimarahi pengarah namun tidak menyimpan rasa marah sebaliknya menganggap switu sebahagian daripada proses pembelajaran.
“Saya rasa budak zaman sekarang terlalu manja, tidak kuat menghadapi cabaran dan kesusahan. Saya pernah lalui situasi dimaki oleh pengarah. Saya sampai kena carut. Kalau budak sekarang kena, silap-silap pengarah itu sudah masuk penjara. Apa yang berlaku di set penggambaran adalah pengalaman untuk setiap pelakon. Tanpa pengalaman itu mereka tidak berada di satu tempat yang lebih baik.
“Anggap pengarah atau kru di lokasi sebagai ibu bapa yang sedang mengajar kita. Mereka marah untuk naikkan semangat kita sebagai seorang manusia,” ujar Nabila. – KOSMO! ONLINE