KEKECOHAN tercetus selepas Raja Bollywood, Shah Rukh Khan menerima nota ugutan bunuh yang dikirimkan daripada nombor telefon dipercayai seorang peguam.
Ancaman yang tidak menyebutkan alasan itu hanya meminta aktor tersebut membayar sejumlah wang atau jika berdegil, dia akan dibunuh.
Bimbangkan keselamatan diri dan keluarga, Shah Rukh Khan melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
Polis Mumbai mengesahkan pelakon terbabit menerima mesej ancaman di telefonnya pada 5 November lalu.
Setakat ini polis sudah memanggil individu terbabit iaitu pemilik nombor telefon yang didakwa mengugut pengadu.
Begitupun, peguam tersebut menyatakan bahawa bukan dia menghantar mesej berkenaan kerana telefon bimbitnya hilang beberapa hari sebelum tarikh mesej dilayangkan.