Sejak kebelakangan ini, ramai yang bertanyakan pandangan saya tentang sejauh mana keperluan serta kepentingan pendidikan formal (asas seni reka fesyen) bagi mereka yang mempunyai aspirasi untuk menjadi seorang pereka fesyen. Jawapan saya sebenarnya mudah, you can do it with or without, terpulang kepada sejauh mana integriti kita dalam merealisasikan impian untuk menjadi pereka profesional dan disegani. Perlu diingat menjadi ‘pereka popular’ atau ‘pereka disegani’ adalah dua perkara berbeza.
Untuk menjadi the true designer, walau sebesar mana pun bakat yang kita ada, ia perlu diasah, dibimbing serta menjalani pelbagai proses (sama ada melalui pendidikan formal atau bersandarkan pengalaman dalam industri). Pereka yang menakjubkan seperti Alexander McQueen, John Galliano dan Hussien Chalayan (sekadar menyebut beberapa nama), semuanya miliki pendidikan formal dalam Seni Reka Fesyen. Mereka ini tergolong dalam kategori pereka yang ‘gifted’ mungkin satu dalam sejuta, dan tidak akan ada replikanya. Cuba kita tanya diri kita kembali, adakah kita mahu menjadi antara ribuan replika pereka yang telah ada atau kita mahu menyerlahkan ekspresi individualiti tersendiri dalam karya yang mewakili generasi serta menjadi legasi yang boleh dibanggakan?
Secara peribadi, pengalaman belajar di universiti adalah terlalu berharga. Pendidikan menjadi tunjang utama dalam menyediakan saya, dengan kefahaman tentang prinsip dan fundamental seni rekaan. Arah tuju kerjaya saya sekarang ini, sebahagian besar bertitik tolak daripada kualiti program pendidikan, para pensyarah/mentor yang memberi bimbingan serta motivasi, juga inspirasi daripada para sahabat yang sama-sama berhempas pulas belajar pada waktu itu.
Pengalaman saya menimba ilmu hingga ke peringkat Ijazah Sarjana di Amerika Syarikat memberikan saya ruang mencari diri dan mengasah bakat untuk menjadi yang terbaik dalam profesion saya. Pendidikan juga memberi saya keyakinan dan fokus dalam kehidupan, serta kebolehan untuk berfikir seterusnya mentafsir secara kritikal tentang karya saya (dan juga orang lain). Ia mengajar saya bagaimana untuk meluahkan ekspresi diri serta interpretasi seni untuk masyarakat. Paling penting, proses pendidikan memberi kita kekuatan untuk menghadapi serta mencari jalan penyelesaian bagi apa jua masalah. Kegigihan kita untuk menimba ilmu memberi semangat untuk kita terus berusaha melangkaui imaginasi untuk mereliasasikan impian. Sama ada kita akui atau tidak, pendidikan dan ilmu mendefinasikan ‘suara’ kehebatan sesuatu generasi. Tugas utama pendidik adalah untuk membantu pelajar membuat anjakan paradigma serta transformasi diri daripada yang biasa menjadi luar biasa. Pendidik juga bertanggungjawab untuk membimbing mereka mencari ‘roh’ dalam karya dan mengeluarkan ‘spectacular’ dari dalam diri.
Ilmu
Pendidikan memberi ilmu yang membuka ruang lingkup minda kita terhadap dunia di sekeliling. Ia beri perspektif baharu dan segar dalam diri kita terhadap kehidupan itu sendiri. Ilmu membantu kita berani menyuarakan pendapat dan memberi kita ketajaman intuisi dalam memahami kehidupan. Ada yang mempersoalkan adakah hanya pelajaran boleh berikan kita ilmu; dan ada yang menyatakan bahawa pelajaran hanyalah proses untuk mendapat informasi tentang dunia sekeliling sementara ilmu sesuatu yang kita dapat melalui pengalaman. Persoalan dan pendapat tersebut tidak salah, but then again, information cannot be converted into knowledge without education. Education makes us capable of interpreting things.
Kemahiran
Kita perlu tahu, menjadi seorang pereka bukan hanya cukup dengan anda miliki sebuah butik fesyen. Bukan juga dengan hanya anda miliki pen/pensil dan kertas, tetapi paling penting adalah kemahiran anda menggunakan alatan tersebut untuk menghasilkan/mencipta karya yang terbaik untuk masyarakat. Kemahiran itu juga mendidik mata kita untuk menganalisa apa yang kita lihat seperti kadar banding (proportions), warna, mood, konteks, suasana (ambience) dan konstruksi.
Bimbingan
Pada pandangan saya, pendidikan formal adalah seperti makanan lengkap dengan nutrisi yang seimbang. Pendidikan formal juga menyediakan peluang untuk kita belajar proses memantapkan bakat, mengenal pasti kelemahan dan kekuatan diri dalam ruang yang teratur dan produktif. Bimbingan guru yang berpengalaman dan teman seperjuangan juga membantu pereka baharu untuk sama-sama mengenal pasti kekurangan dan menjadi lebih peka terhadap alam sekeliling.
Tradisi
Seni reka secara amnya bidang yang kaya dengan warisan, tradisi dan falsafah yang tersurat/tersirat. Pendidikan formal seni reka mengajar pelajar untuk lebih menyelami dan memahami tradisi, whereas self-taught designers might only skim the surface. Pendidikan formal seni reka menyediakan pelajar peluang bereksplorasi dalam bidang rekaan tanpa kekangan aspek komersial. Paling penting misi pendidikan adalah untuk lahirkan pelajar/ pereka berteraskan kualiti, individualiti, kecemerlangan, keyakinan dan ketokohan. Meminjam kata Nelson Mandela, ‘Education is the most powerful weapon we can use to change the world’. Pilihan terletak di tangan anda semua, fikir-fikirkanlah.
Faizal Hamid ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara, Shah Alam