KANGAR – Kerajaan memberi tumpuan kepada usaha membendung pengaliran bakat ke luar negara bagi memastikan daya saing ekonomi tempatan kekal kukuh dan berdaya tahan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pengaliran bakat atau ‘brain drain’ yang berleluasa boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara serta merugikan pembangunan modal insan.
“Kita perlu mewujudkan persekitaran yang kompetitif dan peluang pekerjaan yang setanding dengan negara maju agar bakat tempatan kekal berkhidmat di dalam negara,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Libat Urus RMK13 di Dewan 2020 di sini hari ini.
Rafizi turut menekankan kepentingan pelaburan dalam teknologi digital dan pembangunan modal insan sebagai langkah utama untuk mengekalkan bakat tempatan.
Dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan akan memberikan fokus kepada usaha mencipta persekitaran ekonomi yang kondusif. Ia termasuk memperkasa sektor swasta dan mewujudkan peluang kerjaya lebih baik.
Rafizi turut menggesa kerjasama erat antara sektor awam dan swasta untuk mewujudkan suasana kerja yang lebih menarik dan produktif.
Beliau menegaskan, usaha membendung pengaliran bakat bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi memerlukan penglibatan pelbagai pihak. – KOSMO! ONLINE