BARCELONA – Jorge Martin bukan sahaja mencipta sejarah sebagai pelumba satelit pertama yang menjuarai gelaran dunia, malah turut berkongsi cabaran kesihatan mental yang hampir menjejaskan kariernya sebelum mengecapi kejayaan di Grand Prix Barcelona lewat malam kelmarin.
Di sebalik senyuman dan air mata kegembiraan sewaktu menjulang trofi gelaran dunia di Barcelona, Martin mendedahkan dirinya pernah berdepan dengan ‘anxiety’ (ketakutan) selepas kegagalan merangkul gelaran musim lalu.
Pelumba Pramac tersebut bergelar juara dunia MotoGP 2024 walaupun menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, sekali gus menyekat penguasaan juara bertahan, Francesco ‘Pecco’ Bagnaia yang merupakan pelumba pasukan rasmi Ducati.
“Awal tahun ini, saya sangat tertekan. Saya mula takut bahawa saya tidak akan pernah mendapat peluang menjadi juara MotoGP. Fikiran itu menghantui saya dan memberi kesan besar kepada kehidupan serta latihan saya.
“Walaupun selepas menamatkan saingan di tempat kedua tahun lalu, saya cukup gembira. Tetapi pada Januari, saya mula dilanda ketakutan yang hebat.
“Namun, terima kasih kepada pasukan yang banyak mengubah persepsi dan pandangan terhadap saingan. Saya lebih fokus kepada harapan untuk menang berbanding takut untuk kalah.
“Jika saya kalah, tidak mengapa, saya tidak mati, kehidupan tidak berakhir. Tetapi, saya sentiasa berharap untuk menang. Bukan hanya untuk diri saya, tetapi untuk pasukan, untuk keluarga dan untuk semua orang.
“Itu sangat membantu saya,” kata Martin yang mencatat sejarah sebagai pelumba satelit pertama yang memenangi kejuaraan dunia pada era MotoGP. – AGENSI