IPOH – Minuman kordial seperti sirap dan teh tarik tidak akan dihidangkan pada sambutan hari Deepavali peringkat negeri Perak di Stadium Indera Mulia di sini pada 23 November ini dalam usaha mengurangkan risiko diabetes.
Ia susulan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulakan perang terhadap gula dalam usaha menangani krisis kesihatan yang semakin meningkat dalam pembentangan Belanjawan 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata, makanan berminyak juga tidak dibenarkan pada sambutan perayaan tersebut nanti.
“Minuman seperti sirap tidak dibenarkan kerana kandungannya adalah pewarna, air dan gula yang tidak baik untuk kesihatan.
“Penguatkuasaan penuh akan berkuat kuasa bermula 29 November ini di Dewan Undangan Negeri,” katanya kepada pemberita pada Mesyuarat Majlis Sambutan Deepavali Tahun 2024 Peringkat Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE