SHAH ALAM – Sistem Penilaian Kesediaan Persijilan (CRA) dijangka membantu meningkatkan kelulusan sehingga 500 sijil halal setahun di Selangor.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, pengenalan sistem itu melalui syarikat HIS Toyyiba Sdn. Bhd. membantu pemohon membuat persediaan sebelum memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Katanya, CRA juga dijangka akan mengurangkan risiko permohonan SPHM yang ditolak atau tidak lulus kerana tidak memenuhi syarat pensijilannya.
“Berdasarkan rekod Januari hingga Oktober lalu, sebanyak 2,456 permohonan baharu diterima menerusi CRA ini.
“Bagi tempoh sama, pemegang sijil halal aktif di negeri ini adalah sebanyak 7,300 pemegang sijil halal melibatkan 2,705 syarikat perniagaan berdaftar,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Beliau menjawab soalan Mariam Abdul Rashid (PH – Meru) yang ingin mengetahui pensijilan halal termasuk langkah Selangor bagi mempercepatkan prosesnya.
Mohammad Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia menjelaskan, pelbagai inovasi teknologi turut dilaksanakan melalui syarikat berkenaan termasuk pembangunan pangkalan data ramuan halal.
Tambah beliau, ini yang secara tidak langsung membantu kecekapan semakan dokumen serta bahan mentah hala di dalam permohonan.
“Selain itu, pembangunan sistem kebolehkesanan rantaian bekalan mentah juga dilakukan bagi memastikan produk halal dikesan dari awal sumber bahan mentah sehingga pengguna akhir supaya aspek halalnya terpelihara di sepanjang rantaian tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE