KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperluas penggunaan sistem kod Respons Pantas (QR) kepada semua jenis pengangkutan bagi melancarkan aliran trafik pintu masuk negara di Johor-Singapura pada tahun depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan sistem kod QR setakat ini melibatkan penumpang bas dan penunggang motosikal.
Katanya, fasa pertama sistem jod QR ini telah dilaksanakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) pada Jun lalu.
“Bagi fasa pertama ini, perolehan ‘vendor’ akan dimuktamadkan dan susulan itu penggunaan kod QR ini akan diperluaskan kepada jenis pengangkutan lain seperti kenderaan persendirian dan sebagainya.
“Kita menyasarkan pada tahun hadapan, susulan berdasarkan unjuran laluan Johor-Singapura dijangka akan menerima kemasukan kenderaan sebanyak 150 juta setahun berbanding 116 juta sebelum ini, Singapura juga merupakan penyumbang pelancong tertinggi di Malaysia bagi negara-negara Asean dan keduanya adalah Thailand,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor di Ibu Pejabat Bukit Aman, di sini, hari ini.
Menurut beliau, penggunaan kod QR ini secara langsung dapat mengurangkan peratusan kesesakan khususnya di pintu masuk negara di Johor-Singapura.
“Sebanyak 2 juta lebih kenderaan menggunakan kod QR ini dan apa yang menjadi kayu ukur adalah memendekkan masa menunggu terutamanya ketika waktu puncak.
“Penjimatan antara dua hingga tiga saat sangat signifikan di laluan sesibuk ini, jika dahulu terdapat satu kaunter untuk cop passport, kemudian kenderaan perlu gerak ke depan sedikit untuk urusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan tol namun semua urusan ini disatukan menerusi kaedah QR ini,” jelasnya lagi.
Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor ini dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan turut dihadiri Saifuddin Nasution dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil serta Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Terdahulu media melaporkan KDN memilih satu aplikasi bagi urusan imigresen rakyat Malaysia di BSI dan KSAB di Johor untuk perjalanan keluar masuk ke Singapura.
Katanya, tiga aplikasi kini sedang menjalani “proof-of-concept” (POC) di BSI dan KSAB iaitu MyTrip, MyRENTAS dan MyBorderPass bagi menguji keberkesanan dalam mengurangkan kesesakan di pintu masuk negara yang bersempadan dengan Singapura.
Penggunaan aplikasi dalam tempoh ujian terbukti dapat memendekkan masa menunggu dan membantu mengurangkan kesesakan, manakala pengumuman rasmi mengenai aplikasi ini akan dibuat dalam masa terdekat.
Saifuddin menegaskan bahawa pengembara masih perlu membawa pasport untuk tujuan pengesahan meskipun urusan imigresen boleh dilakukan menggunakan aplikasi berkenaan.- KOSMO! ONLINE