NORWAY – Bintang sensasi Norway, Erling Haaland terus membuktikan statusnya sebagai pemain bertaraf dunia apabila mencatat hatrik dalam kemenangan bergaya 5-0 ke atas Kazakhstan, sekali gus membawa pasukan itu ke Liga A Liga Negara-Negara Eropah (UNL).
Kemenangan di Stadium Ullevaal bukan sahaja menobatkan Norway sebagai juara Kumpulan B3, tetapi juga melonjakkan mereka dua mata di depan Austria yang terikat 1-1 menentang Slovenia.
Dalam masa sama, Haaland menamatkan saingan sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan tujuh gol dalam enam perlawanan, memperkukuh reputasinya sebagai ancaman utama di pentas antarabangsa.
Haaland membuka tirai jaringan pada minit ke-23 apabila bola hantaran Antonio Nusa berjaya disudahkan dengan tenang sebelum dia menggandakan jaringan 14 minit kemudian melalui tandukan
Alexander Sorloth menambah gol ketiga sebelum separuh masa pertama berakhir dengan rembatan ke sudut bawah gawang, manakala Haaland melengkapkan hatriknya pada minit ke-71 menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti.
Nusa kemudian menyempurnakan malam gemilang Norway dengan gol kelima pada minit ke-82.
Sorakan gemuruh menggegarkan stadium apabila berita gol penyamaan Slovenia menentang Austria, sekali gus mengesahkan promosi Norway ke saingan utama. – AGENSI