BUENOS AIRES – Argentina mungkin terpaksa berdepan situasi penuh berliku untuk memburu kebangkitan selepas dihimpit masalah kecederaan menjelang perhitungan dengan Peru dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium La Bombonera pagi esok.
Pengendalinya, Lionel Scaloni pastinya sedang mengerah idea untuk membina kesebelasan terbaik termasuk mengambil langkah kecemasan dengan memanggil Giuliano Simeone bagi mengisi tempat Nahuel Molina yang cedera.
“Nahuel Molina berasa tidak selesa pada bahagian belakang pahanya dan tidak dapat bermain pada aksi selepas ini. Untuk itu, Giuliano Simeone akan sertai pasukan,” menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA).
Simeone yang merupakan anak kepada pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone, juga mula menunjukkan potensinya dengan bermain lapan perlawanan La Liga bersama Atletico musim ini.
Sementara itu, Scaloni juga menyatakan pendiriannya untuk tidak menuding jari kepada pemain di atas kekalahan 1-2 kepada Paraguay pada Jumaat lalu, sebaliknya kekal memberi sokongan kepada pasukan.
“Saya berada di kedudukan ini bukan untuk mengkritik pemain dan saya akan menyokong mereka,” katanya.
Scaloni juga enggan terlalu meratapi kekalahan, sebaliknya mahu terus memandang ke depan bagi memperbaiki segala kelemahan pasukan.
Untuk rekod, Argentina kini mendahului carta kelayakan Piala Dunia 2026 zon Amerika Selatan dengan mengumpul 22 mata, berkelebihan tiga mata berbanding Uruguay di tempat kedua. – AGENSI