MILAN – Perancis ternyata tiada masalah untuk mencatat kemenangan ke atas salah satu gergasi Eropah dan dunia meskipun turun tanpa bintang utama, Kylian Mbappe.
Ia terbukti apabila Les Bleus menewaskan Itali 3-1 dalam aksi Liga Negara-Negara Eropah (UNL) di Stadium San Siro awal pagi tadi sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah kepada lima perlawanan berturut-turut.
Biarpun tanpa Mbappe, eksperimen yang dilakukan oleh pengendali Perancis, Didier Deschamps berjaya menuai hasil lumayan hingga menyaksikan Adrien Rabiot muncul wira buat bekas juara dunia itu.
Rabiot yang berhijrah menyertai Marseille secara percuma daripada Juventus pada September lalu, berjaya meledak dua gol selain satu jaringan sendiri penjaga gol Itali, Guglielmo Vicario dalam aksi tersebut.
“Kami mempunyai skuad yang muda. Saya juga mahu melihat lebih ramai pemain diturunkan dan menang di sini menentang pasukan seperti Itali yang penuh keyakinan, memberikan sesuatu kepada pasukan,” kata Deschamps.
Dalam masa sama, penjaga gol Perancis, Mike Maignan mengakui kemenangan itu secara tidak langsung menebus kekalahan 1-3 dialami mereka sewaktu pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan di Parc des Princes pada September lalu.
“Kami berjaya membalas dendam dan menebus maruah kami,” jelasnya.
Sebagai rekod, kemenangan Perancis itu menyaksikan Itali bolos tiga gol buat kali pertama di laman sendiri sejak mereka tewas 0-3 kepada Sweden pada 1983. – AGENSI