fbpx

Jun Hao mahu konsisten, lebih sabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JUN HAO berharap dapat mengekalkan prestasi sama seperti meraih naib juara Kumamoto Masters menjelang aksi China Masters esok. - AFP

PERSEMBAHAN memukau dipamerkan perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao sewaktu Kejohanan Badminton Kumamoto Masters di Jepun baru-baru ini menjadi bekalan terbaik sebelum turun menghadapi China Masters bermula esok.

Pemain ranking ke-31 dunia itu berjaya ke final Kumamoto Masters tetapi impiannya untuk membawa gelaran sulung musim ini tidak kesampaian apabila tumpas kepada pemain No. 9 dunia dari China, Li Shi Feng 10-21, 13-21.

Bagaimanapun, Jun Hao, 25, berpuas hati dengan prestasinya terutama mencipta kejutan menewaskan pemain-pemain di ranking lebih tinggi seperti Lakshya Sen, Koki Watanabe, Kodai Naraoka dan Jonatan Christie.

“Saya sudah berikan segala-galanya untuk sampai ke sini. Dia (Shi Feng) memang lawan yang sukar dan susah untuk mendapatkan mata daripadanya.

“Saya harap dengan mencapai final ini dapat membantu membina keyakinan diri. Saya harap dapat lebih sabar dan konsisten serta membuat keputusan yang lebih positif,” kata Jun Hao.

Selepas ini, Jun Hao akan menghadapi kejohanan berstatus Super 750 di China Masters dengan berdepan pemain No. 33 dunia, Takuma Obayashi.

Sekiranya dapat mengekalkan persembahan luar biasa, bekas juara remaja Asia itu akan berdepan sama ada pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu atau pemain pilihan ketiga, Anders Antonsen dari Denmark.

“Di Jepun, dia (Jun Hao) bermain baik dan kita harapkan dapat keluarkan permainan yang sama dan bagus. Perlawanan di Jepun juga memberi motivasi kepada dia terutama faham mengenai dirinya sendiri,” ujar jurulatih perseorangan lelaki negara, K. Yogendran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN