PETALING JAYA – Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) menerima permohonan maaf terbuka daripada pemain Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dari Amerika Syarikat, Michael Cosgun susulan insidennya menghina bendera Malaysia.
Sebelum ini, pemain dengan nama permainan MobaZane itu mencetuskan kemarahan peminat e-Sukan tempatan apabila memuat naik Instagram Story miliknya dengan tulisan “noob” di atas Jalur Gemilang.
Dalam kenyataan rasmi hari ini, MESF menzahirkan rasa kesal terhadap insiden tersebut dan menuntut MobaZane untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.
“Kami menghargai langkah MobaZane mengakui kesilapan serta mengambil tanggungjawab penuh atas tindakannya. MESF sentiasa mengutamakan nilai perpaduan, rasa hormat dan integriti dalam komuniti e-Sukan,” kata MESF dalam satu kenyataan hari ini.
MESF turut mengingatkan semua pemain e-Sukan untuk lebih berhati-hati dalam tindakan mereka terutamanya di platform media sosial bagi mengelakkan perkara sebegini berulang.
“Insiden ini menjadi pengajaran penting buat semua. Kami berharap setiap individu dalam komuniti e-Sukan terus menjaga imej sukan ini di peringkat antarabangsa,” tambah kenyataan MESF.
MobaZane menerusi kenyataan di YouTube, telah menyatakan kekesalannya atas perbuatan tersebut yang disifatkannya sebagai tidak menghormati Malaysia.
“Saya sepenuhnya memahami bahawa tindakan itu tidak menghormati dan saya amat kesal kerana memuat naik. Saya ingin memohon maaf dengan setulus hati kepada komuniti Malaysia serta sesiapa yang terasa hati dengan tindakan saya.
“Saya sama sekali tidak berniat untuk menghina sesiapa. Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas hantaran itu.
“Pada masa hadapan, saya akan belajar daripada kesilapan ini dan memastikan perkara seperti ini tidak akan berulang lagi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE