fbpx

Dewan Rakyat: Model versi Melayu mudahkan AI fahami bahasa tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang meneliti kemungkinan membangunkan Model Bahasa Besar (LLM) dalam versi bahasa Melayu bagi menyokong ekosistem kecerdasan buatan (AI) dalam memahami bahasa serta budaya tempatan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, kerjasama itu dengan kerjasama universiti dan syarikat tempatan seperti Mesolitica Sdn Bhd (Mesolitica) dan turut melibatkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

“MOSTI telah mengadakan beberapa sesi perbincangan bersama beberapa kementerian dan agensi Kerajaan seperti Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Digital (KD), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Perladangan dan Komuniti (KPK), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk membangunkan LLM tempatan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) sama ada MOSTI akan bekerjasama dengan DBP untuk memastikan pembangunan LLM seiring dengan usaha memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

Terdahulu, Mohammad Yusof berkata, pembangunan LLM akan menyokong ekosistem AI tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada teknologi AI dari luar negara.

Jelas beliau, ia dapat meningkatkan proses membuat keputusan, pengautomasian tugas dan memudahkan penyelidikan dalam pelbagai sektor dengan menyesuaikan pengetahuan AI global kepada bahasa dan keperluan tempatan.

Bagaimanapun, katanya, pembangunan LLM atau model AI melibatkan kos yang tinggi dan memerlukan peralatan khusus yang selalunya dilaksanakan di pusat pengkomputeran berprestasi tinggi berasaskan awan.

Ujar beliau, terdapat juga kebimbangan berkenaan keselamatan data kerana data akan disimpan di luar negara sekiranya menggunakan perkhidmatan awan yang menimbulkan risiko kebocoran data sulit.

Justeru, katanya, MOSTI sedang meneroka penggunaan infrastruktur pengkomputeran dengan kos kompetitif yang mampu mengendalikan dan memperhalusi data hak milik dengan selamat.

“MOSTI telah memulakan kolaborasi dengan Phison melalui penggunaan teknologi aiDAPTIV+ yang telah membuktikan mengenai pengurangan kos dengan menyediakan platform yang membolehkan penyesuaian dan pengoptimuman model AI di premis sendiri, membantu PKS dan agensi kerajaan menjimatkan kos yang tinggi untuk menggunakan pusat pengkomputeran awan.

“AiDAPTIV membolehkan pengguna melatih dan mengoptimumkan model AI menggunakan data rahsia di premis mereka sendiri, mengurangkan risiko kebocoran data,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI