fbpx

Malaysia – Brazil perkukuh kerjasama meliputi bidang kesihatan, halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika mengadakan pertemuan bersama Lula di luar Sidang Kemuncak G20.

PETALING JAYA – Malaysia dan Brazil membincangkan langkah-langkah bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia juga meliputi industri halal, keterjaminan makanan dan pertanian, sains, teknologi dan inovasi, semikonduktor serta alam sekitar dan perubahan iklim.

Selain itu, kedua-dua pihak turut menekankan komitmen untuk memerangi ketidaksetaraan, kelaparan dan kemiskinan serta berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat kedua-dua negara.

“Saya menyatakan penghargaan atas sokongan Brazil kepada Malaysia sebagai negara rakan strategik BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan), dan pelaburan Petronas dan Yinson.

Disamping itu, kami turut membincangkan mengenai pembaharuan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Beliau berkata demikian di Facebook rasminya ketika mengadakan pertemuan dengan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva di luar Sidang Kemuncak G20.

Dalam masa sama, beliau turut mengundang Lula untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur pada 2025 sebagai Tetamu Pengerusi.

“Malaysia dan Brazil akan meneroka inisiatif terbaik sewaktu Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, manakala Brazil sebagai Presiden BRICS dan tuan rumah Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP).

“Saya yakin dan percaya hubungan diplomatik kedua-dua negara yang terjalin selama 65 tahun ini akan terus berkembang pesat demi manfaat bersama,” ujarnya – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI