MARANG – Gara-gara terlanggar lopak air, dua jurujual maut manakala dua lagi rakan sekerja cedera parah setelah kenderaan pelbagai jenis (MPV), Nissan Grand Livina dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 45, Jalan Kuantan-Kuala Terengganu berhampiran Merchang di sini semalam.
Kemalangan pada pukul 4.35 petang itu mengorbankan Ahmad Farid Izwan Mohd., 24, dan Muhammad Amir Ikmal Hashim, 20, yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Dua lagi mangsa iaitu Muhammad Shafiq Aizad Yusaini, 26, yang memandu kenderaan itu pula cedera parah pada bahagian kepala, manakala Muhammad Razlan Rashidi Abd Razak, 19, pula cedera lengannya.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd. Sofian Redzuan berkata, sewaktu kejadian, keempat-empat mangsa yang menaiki kenderaan syarikat dikatakan dalam perjalanan pulang ke pejabat mereka di Kuala Terengganu dari Kemaman.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan Nissan Grand Livina dinaiki mereka dikatakan terlanggar lopak air menyebabkan ia hilang kawalan.
“Kenderaan itu kemudiannya terbabas lalu merempuh sebatang pokok di tepi jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE