fbpx

[VIDEO] Rasuah RM2.8 juta: Bung Moktar, Zizie Izette kena bela diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bung Moktar ketika ditemui media di pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya, hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

PUTRAJAYA – Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad diperintah membela diri oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini atas tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd.

Keputusan sebulat suara itu dibuat tiga panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan pasangan tersebut pada 7 September 2023.

Ini bermakna, pasangan suami isteri tersebut perlu membela diri di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Dua lagi hakim yang turut bersidang hari ini ialah Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin.

Panel tiga hakim itu memutuskan demikian selepas selesai meneliti hujahan bertulis dan lisan daripada kedua-dua belah pihak.

Semasa prosiding perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaide dan Law Chin How, manakala peguam M. Athimulan dan Datuk Seri K. Kumaraendran masing-masing mewakili Bung dan Zizie selaku responden.

Pada 7 September 2023, Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya dilepas dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan setelah Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan mereka terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 2022 yang memerintahkan pasangan tersebut membela diri.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan rayuan pada 18 September tahun sama.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Bung Moktar, 65, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi berkenaan supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette, 47, di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan ketiga, Bung Moktar didakwa menerima wang RM337,500 daripada perunding Unit Amanah Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Dalam pada itu, Zizie Izette turut didakwa bersubahat melakukan perbuatan itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Pendakwaan terhadap Bung Moktar dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Zizie Izette pula didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman yang sama.

Sebelum ini, pihak pendakwaan menyenaraikan tujuh alasan dalam rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan pasangan tersebut selaku responden.

Pendakwaan berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta dalam menjalankan bidang kuasa semakan apabila membebaskan pasangan terbabit, selepas Mahkamah Sesyen memberi penilaian maksimum terhadap keterangan ketika kes pendakwaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI