BARCELONA – Pelumba Sepanyol, Jorge Martin mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Juara Dunia MotoGP 2024 biarpun hanya menamatkan perlumbaan podium tempat ketiga pada Grand Prix (GP) Barcelona sebentar tadi.
Walaupun perlumbaan tersebut dimenangi oleh seteru utamanya dari Ducati, Francesco ‘Pecco’ Bagnaia tetapi kedudukan penamat ketiga di Litar Barcelona-Catalunya sudah cukup untuk Martin merangkul gelaran dunia pertama dalam kariernya selepas mengumpul 508 mata keseluruhan.
Bagnaia yang bekerja keras dengan meraih kemenangan berganda di Barcelona terpaksa akur gagal mempertahankan kemenangan yang dicapai tahun lalu apabila hanya dipisahkan 10 mata dengan Martin.
Kejayaan tersebut merupakan detik yang ditunggu-tunggu Martin terutama selepas mengalami kekecewaan musim lalu sejurus tewas di tangan Bagnaia dan akhirnya dia berjaya menebus segala pengorbanannya dengan meraih gelaran sulungnya terutama di bumi sendiri.
Penampilan mantap dan konsisten serta bantuan kemenangan pada perlumbaan pecut membolehkan Martin untuk menjulang gelaran dunia tersebut.
“Saya tidak tahu nak cakap apa dan kemenangan ini untuk orang-orang saya, untuk keluarga saya serta untuk semua yang telah menyokong saya selama ini. Pada perlumbaan terakhir, saya langsung tak dapat menunggang, saya mula menangis.
“Perlumbaan hari ini memang perlumbaan yang sangat emosional. Terima kasih kepada yang menyokong saya dan gelaran ini adalah untuk mereka.
“Apa yang boleh saya katakan, perjalan untuk menjulang kemenangan ini ini sangat panjang, penuh dengan kemalangan dan kecederaan besar, tetapi akhirnya kami sampai ke sini. Terima kasih kepada semua dan kemenangan ini juga buat Valencia, serta pelumba Sepanyol.Saya harap kita boleh terus berkembang maju dan menikmati detik-detik ini,” kata Martin.
Dengan kemenangan tersebut, Martin turut mencipta sejarah yang mengukir nama Pramac Racing sebagai pasukan satelit pertama yang memenangi gelaran dunia dalam kelas utama MotoGP.
Kali terakhir pasukan satelit menjuarai gelara dunia adalah menerusi Valentino Rossi yang dilakukan pada era 2001 bersama pasukan Nastro Azzurro Honda yang juga merupakan pasukan satelit.
Lebih manis, kemenangan Martin juga menjadi hadiah perpisahan yang paling manis sebelum dia memulakan langkah baru dalam kariernya dengan menyertai pasukan Aprilia Racing musim depan, manakala Pramac Racing pula akan menamatkan kerjasama mereka dengan Ducati dan beralih menjadi pasukan satelit Yamaha. – KOSMO! ONLINE