fbpx

Perkasa bidang AI menerusi Bahasa Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Peruntukan khusus sebanyak RM10 juta kepada Pejabat AI (Kecerdasan Buatan) Kebangsaan dan RM50 juta untuk pendidikan AI menunjukkan langkah kukuh ke arah membina kepakaran tempatan dalam teknologi AI.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs, Foong Chee Mun berkata, ia merupakan langkah terbaik jika kerajaan mahu pulangan yang menguntungkan pada masa hadapan.

Chee Mun

Malah katanya, projek Model Bahasa Melayu (LLM-BM) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mengangkat bahasa Melayu dalam teknologi bahasa berasaskan AI mampu diperkasa melalui inisiatif berkenaan.

“YTL mahu mengambil peluang ini untuk memajukan bidang AI di Malaysia untuk anak bangsa, supaya kita punya kepakaran sendiri setanding negara luar.

“Malah YTL juga terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan pihak institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memperkasakan teknologi AI di dalam negara.

“Ketika ini kami bersama UKM membangunkan projek Model Bahasa Melayu, selain memperluaskan lagi model AI di Malaysia yang merangkumi budaya dan sensitiviti yang tersendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, YTL Power International telah bekerjasama dengan NVIDIA untuk membina infrastruktur AI yang akan membawa superkomputer terpantas ke Malaysia menjelang pertengahan tahun 2024.

Mengulas lanjut, Chee Mun turut berkata, paling penting adalah untuk semua pihak tidak menyalahgunakan teknologi AI kepada perkara yang tidak bermanfaat.

“Sebagaimana penggunaan Internet yang boleh membabitkan penipuan dan salah guna maklumat, bidang AI juga boleh menjurus ke arah itu.

“Kerajaan perlu mencari jalan untuk mengetatkan lagi undang-undang khususnya penggunaan teknologi AI dalam kalangan penggiat dan rakyat secara amnya,” katanya lagi.

Untuk rekod, Malaysia kini telah meraih pelaburan berjumlah AS$16.9 bilion (RM71.52 billion) daripada syarikat gergasi teknologi dunia termasuk Amazon Web Services, Microsoft, Google dan Oracle.

Sementara itu, bagi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil, kejayaan Malaysia yang menerima banyak pelabur ini akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

“Pelaburan ini akan menjadi pemangkin kepada peluang pekerjaan untuk rakyat manakala inisiatif peningkatan kemahiran dan penubuhan pusat kecemerlangan akan meningkatkan lagi kedudukan Malaysia dalam landskap digital di Asia Tenggara,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI