KUALA LUMPUR – Skuad hoki wanita negara mencipta kejutan apabila mengesahkan tiket ke separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di Bihar, India ketika ini.
Ia susulan kemenangan 2-0 ke atas Thailand dalam aksi kelima berlangsung di Stadium Hoki Rajgir hari ini.
Malaysian Tigress juga harus berterima kasih kepada China yang menewaskan Korea Selatan 2-0 dalam satu lagi aksi hari ini sekali gus menjamin tempat buat skuad wanita negara ke pusingan empat terakhir kejohanan.
Ketua jurulatih Malaysian Tigress, Mohamed Nasihin Nubli Ibrahim meluahkan rasa syukur atas kemenangan itu, namun turut mengakui terdapat beberapa aspek permainan yang perlu diperbaiki.
“Alhamdulillah, kita berjaya mendapatkan tiga mata penting. Tetapi saya rasa kita tidak bermain sebagaimana yang sepatutnya. Ada beberapa kelemahan perlu diperkuatkan, terutama dalam serangan dan penggunaan peluang,” katanya.
Beliau turut memuji jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disifatkan sebagai hasil kerja berpasukan, namun mengingatkan pemain untuk terus bekerja keras demi mencapai tahap permainan setara dengan pasukan terbaik Asia.
“Kita masih jauh daripada beberapa pasukan terbaik Asia, tetapi kita ada masa untuk memperbaiki kelemahan. Pemain perlu memahami bahawa usaha keras dan konsistensi adalah kunci untuk mencapai tempat terbaik di Asia,” tambah Nasihin.
Dua gol Malaysia dalam aksi itu diperoleh menerusi pukulan sudut penalti Nur Afiqah Syahzani Azhar (m-41) dan jaringan padang olej Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi pada minit ke-53. – KOSMO! ONLINE