PETALING JAYA – Penyedia e-hailing terbaharu, GV Ride menyasarkan 50,000 pemandu berdaftar dengan aplikasi berkenaan menjelang hujung tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Car Ventures Sdn Bhd (GVV), Kabeer Maand berkata, sasaran itu yakin dapat dicapai apabila lebih 15,000 pemandu sudah berdaftar dengan pihaknya sejak dilancarkan pada September lalu.
“Ketika ini kita mempunyai 15,000 pemandu berdaftar dan kita sasarkan 50,000 pemandu menjelang akhir tahun ini sejajar dengan usaha agresif syarikat mengembangkan perkhidmatannya ke seluruh negara.
“Perkhidmatan GV akan diselia oleh seorang alpha bagi setiap negeri kecuali Perak Utara, Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Langkawi yang diuruskan oleh persatuan yang dilantik oleh GV Ride,” katanya dalam satu kenyataan.
GV Ride yang memulakan pra operasinya pada September, dimiliki GVV antara 30 syarikat yang berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Mengulas lanjut, Kabeer berkata, sempena pelancaran aplikasi itu juga, pihaknya menawarkan sejuta tempahan percuma bernilai RM15 dan ke bawah bagi perkhidmatan aplikasi itu di seluruh negara.
Selain itu katanya, perkhidmatan GV Ride menawarkan potongan komisyen paling rendah iaitu sembilan peratus daripada kadar tambang berbanding penyedia e-hailing lain yang mengaut keuntungan antara 12 hingga 20 peratus bagi setiap tempahan.
“Aplikasi ini juga menawarkan ciri-ciri seperti penjejakan masa nyata, tempahan perjalanan melalui bidaan harga dan pilihan pembayaran tanpa tunai, sekaligus memberikan kemudahan dan ketelusan kepada pengguna.
“Pemandu yang berminat boleh mendaftar melalui aplikasi GV Ride yang boleh dimuat turun melalui platform App Store dan Google Playstore, dengan perkhidmatan pelanggan yang sedia membantu 24 setiap hari melalui Autobot dan ejen perkhidmatan pelanggan,”ujarnya.
Dalam langkah untuk mengembangkan perniagaannya, Kabeer berkata GV Ride merancang untuk memperkenalkan perkhidmatan e-hailing menggunakan kenderaan EV menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata ketika ini pihak syarikat sedang berunding dengan pembekal dari China dan menyasarkan sebanyak 2,500 unit kenderaan EV akan digunakan untuk fasa pertama dalam memenuhi keperluan pengguna.
“Syarikat juga akan menawarkan skim penjimatan di mana pemandu boleh menyewa kereta elektrik untuk kegunaan e-hailing, sebagai sebahagian daripada komitmen kami terhadap kelestarian alam sekitar,” katanya.-KOSMO! ONLINE