WASHINGTON – Tiada bukti untuk menyokong pelbagai dakwaan yang mengatakan bahawa terdapat aktiviti makhluk asing di Bumi, demikian menurut penegasan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) seperti laporan laman berita RT semalam.
Pentagon membuat rumusan itu walaupun menerima beratus-ratus laporan mengenai penampakan objek terbang tidak dikenali (UFO).
Dokumen yang tidak diklasifikasikan dari Pejabat Resolusi Anomali Semua-Domain (AARO) Pentagon memperincikan peningkatan ketara dalam penampakan fenomena anomali (UAP) yang tidak dikenal pasti. Ia merupakan istilah tentera untuk UFO.
Pentagon menubuhkan AARO pada 2022 untuk mengenal pasti dan menyelesaikan penampakan UAP.
Sejumlah 485 laporan diterima dari Mei 2023 hingga Jun 2024.
Sebanyak 118 kes telah diselesaikan dalam tempoh berkenaan, yang kesemuanya didapati merupakan objek seperti belon, burung dan pesawat tanpa juruterbang.
Laporan berdasarkan data yang dikumpul daripada anggota tentera, pemerhati awam dan sistem radar canggih itu bagaimanapun menekankan keperluan untuk melakukan siasatan lanjut mengenai kejadian-kejadian misteri tersebut.
“Banyak kes lain masih tidak dapat diselesaikan dan AARO meneruskan pengumpulan serta analisis ke atas kes-kes itu,” kata AARO. – AGENSI