JOHOR BAHRU – Bukan sahaja menderita angin ahmar, malah seorang ibu tunggal terpaksa membesarkan dua anak dalam keadaan buta mata kiri akibat gangguan saraf sejak sembilan bulan lalu.
Lebih menyedihkan, dia hilang mata pencarian selepas terpaksa berhenti kerja sebagai penyelia di sebuah hotel pada bulan sama dan kini bergantung kepada wang simpanan bagi menampung kehidupan anak berusia 12 dan 13 tahun.
Norzainizah Zainal, 32, berkata, wang simpanan yang tinggal sedikit memaksa dirinya menjual barang kemas miliknya bagi membiayai kos rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dan selebihnya digunakan untuk perbelanjaan harian.
“Saya kini tiada sumber pendapatan akibat masalah penglibatan ini. Pembedahan laser ke atas mata kiri tidak berjaya pulihkan kecacatan yang dialami.
“Kini saya menunggu keputusan dari hospital sama ada perlu menjalani pembedahan bagi menyelamatkan penglihatan mata di sebelah kanan,” katanya di sini kelmarin.
Ibu tunggal yang merupakan pemegang kad OKU itu memberitahu, ramai rakan-rakan yang membantu memandangkan dia sebatang kara selepas kehilangan ibu pada 2018 dan bapa, dua tahun selepas itu.
“Mujurlah dua anak yang masih bersekolah memahami keadaan saya. Apa yang ada kami makan, jika tiada kami diam tidak perlu cakap dengan orang. Anak-anak akan bawa bekal dari rumah, kadang-kadang saya bagi duit RM2 ke sekolah,” ujarnya.
Norzainizah berharap mereka sekeluarga dapat tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) berhampiran kerana kadar sewa yang lebih rendah setelah dia tidak mampu bekerja disebabkan kerap sakit kepala.
“Dugaan ini cukup besar tetapi saya sentiasa berdoa dan berharap agar terus tabah dan kuat apatah lagi dengan tahap kesihatan tidak menentu dan sering berulang alik ke hospital,” katanya.
Bagi yang ingin menyumbang boleh menghubungi Norzainizah di talian 0139557348 atau terus ke akaun Bank CIMB bernombor 7074632850.