fbpx

Nur Azlinna simpan hasrat jadi usahawan makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR AZLINNA merupakan pelajar jurusan sains dan teknologi makanan di UPM.

DI Pantai Timur, laksam merupakan salah satu juadah tradisi yang menjadi kesukaan ramai termasuk Nur Azlinna Mohd. Zura, 23.

Disebabkan terlalu suka dengan makanan tersebut, dia menjadikan laksam sebagai ‘inspirasi’ untuk menghasilkan satu inovasi pada Pertandingan Produk Baharu 2024 di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurutnya, dia dan lapan rakan lain telah menghasilkan inovasi ‘laksamudah’ untuk pertandingan tersebut.

“Saya dan rakan-rakan merupakan pelajar jurusan sains dan teknologi makanan di UPM dan kami memilih untuk menghasilkan inovasi tersebut pada pertandingan berkenaan.

“Laksam adalah makanan kesukaan saya. Dari situ, saya mendapat idea untuk melakukan inovasi yang berteraskan makanan tradisi itu,” katanya yang juga merupakan ketua kumpulan tersebut.

Tambahnya, hasil inovasi berkenaan, dia dan rakan-rakan telah menjadi juara pada pertandingan tersebut.

Nur Azlinna yang kini berada di tahun keempat pengajian berkata, dia dan rakan-rakan lain menghasilkan laksam segera dengan menggunakan asas tumbuhan untuk menghasilkan kuah.

“Kami menggunakan asas tumbuhan iaitu latok dan soya ‘chunks’ yang berfungsi menggantikan ikan sebagai bahan utama dalam kuah laksam.

“Manakala untuk laksam, kami menggunakan resipi yang sama tetapi dalam bentuk kering supaya lebih tahan lama,” jelasnya.

NUR AZLINNA bergambar bersama replika cek hasil kemenangan kumpulannya pada Pertandingan Produk Baharu 2024.

Terangnya, dia dan rakan-rakan bertungkus-lumus selama 14 minggu untuk menghasilkan produk inovasi itu dan segalanya terbayar dengan kemenangan.

Menurut Nur Azlinna, pertandingan itu juga memberi pengalaman kepadanya untuk menjadi pemimpin.

Ini kerana, dia perlu menjadi ‘ketua’ kepada rakan-rakan yang lain untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan produk tersebut.

Tanggungjawab yang dipikul oleh Nur Azlinna semakin berat apabila dia dan rakan-rakannya bakal mewakili UPM dalam satu pertandingan inovasi pada tahun hadapan.

“Pada pertandingan inovasi nanti, saya dan rakan-rakan akan mewakili UPM dan kami akan membawa produk laksam ini. Sebagai persediaan, kami akan menambah baik apa yang perlu untuk pertandingan itu nanti.

“Saya harap kami dapat meraih kejayaan dan mengharumkan nama universiti,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nur Azlinna berkata, meskipun jurusan sains dan teknologi makanan bukanlah pilihan utamanya untuk melanjutkan pengajian, namun kini dia semakin suka dengan bidang tersebut.

Ini kerana, dia berpeluang untuk mempelajari dan menerokai dengan lebih mendalam tentang pengeluaran dan pemprosesan makanan, kawalan kualiti dan lain-lain lagi hal berkaitan.

“Untuk menghasilkan atau mencipta sesuatu makanan, kita perlu mengetahui banyak perkara yang berkaitan. Saya melihat bidang ini amat luas kerana banyak makanan dihasilkan,” jelasnya.

Malah, dia melihat peluang pekerjaan dalam bidang itu terbuka luas kerana makanan adalah sesuatu yang diperlukan oleh semua orang.

Antara peluang pekerjaan yang boleh diterokai oleh graduan dalam bidang itu merangkumi kerjaya sebagai penganalisis makanan, pegawai keselamatan makanan, pegawai penyelidik, pegawai penguat kuasa makanan halal, pegawai pengeluaran dan pegawai pemasaran makanan.

Setelah tamat pengajian kelak, Nur Azlinna berhasrat untuk mencari kerja yang bersesuaian dengan bidang pengajiannya. Selain itu, dia mempunyai impian untuk menjadi seorang usahawan dengan mengeluarkan produk makanan sendiri.

“Rugi rasanya jika saya tidak menceburkan diri dalam perniagaan dengan mengeluarkan produk makanan kerana saya belajar dalam bidang ini.

“Oleh itu, saya akan bekerja mencari pengalaman terlebih dahulu dan jika ada rezeki pada masa hadapan, saya akan menceburkan diri dalam bidang keusahawanan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI