JOHOR BAHRU – Lima beradik menjadi yatim piatu dalam sekelip mata selepas ibu bapa mereka maut akibat dilanggar pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) dipercayai mabuk di Jalan Besar/Jalan Mesjid, Pasir Gudang, di sini awal pagi tadi.
Muhammad Ikmal Danish Abdullah, 15, berkata, bapanya, Mohd. Ridzwan Mohd. Rudi, 37, dan ibunya, Linda Mohd. A. Aziz, 35, sempat berpesan supaya dia menjaga empat adik beradik lain sehari sebelum mereka dijemput Ilahi.
Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, dia tidak menyangka pesanan tersebut merupakan petanda pasangan tersebut akan meninggalkan mereka buat selama-lamanya.
“Beberapa hari sebelum (kemalangan) ini, ayah dan emak berpesan kepada saya jangan berpisah dengan adik-beradik walau apapun terjadi. Mereka cakap apa-apa pun (yang akan berlaku) jangan pisah. Jaga adik-adik,” katanya ditemui di rumah keluarnya di Flat Taman Cendana, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 4 pagi tadi itu, pasangan suami isteri tersebut menunggang motosikal sebelum dirempuh sebuah MPV jenis Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki.
Bercerita lanjut, Muhammad Ikmal Danish memberitahu, ibunya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Johor Bahru selalu diberikan makanan oleh majikannya untuk disedekahkan kepada jiran di kawasan perumahan mereka.
“Jiran ada beritahu saya kali terakhir ibu menghantar makanan, ibu pakai tudung, baju dan seluar serba putih,” katanya.-KOSMO! ONLINE