PETALING JAYA – Seorang lagi anak seni iaitu pelakon Shima Anuar positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan pada Sabtu lalu.
Shima atau nama sebenarnya, Noor Hashimah Anuar, 27, berkata, dia tidak mempunyai kontak rapat dengan mana-mana pesakit Covid-19 namun mengambil langkah untuk melakukan ujian saringan tersebut selepas mengalami masalah pernafasan dan sakit kepala.
“Hari Sabtu pergi buat ujian calitan dan Ahad dapat keputusan ini. Suami saya pula pergi semalam (Ahad). Pagi ini keputusan dia negatif. Hanya saya seorang positif. Tak tahu nak gambarkan perasaan ini macam mana.
“This really breaks my heart (berita ini benar-benar membuatkan saya sedih). Saya tiada kontak rapat dengan sesiapa yang kena Covid. Buat swab test (ujian calitan) sebab hari Jumaat lalu tiba-tiba rasa susah nak nafas dan sakit kepala.
“Beritahu suami, dia kata mungkin sebab saya tak makan lagi atau mungkin sebab perut masuk angin. Jadi selepas dah makan semua dah okeylah. Tapi saya cakap dengan suami nak buat juga swab test sebagai langkah berjaga-jaga,” tulis pelakon filem Highland Tower menerusi Instagram miliknya sebentar tadi.
Dalam pada itu, Shima memberitahu suaminya iaitu Mohd. Solih Toha sudah melakukan ujian saringan Covid-19 pada Ahad namun keputusannya negatif.
Bagaimanapun Shima bimbang dengan keputusan dua orang anaknya iaitu Marian Sophia serta Mikhael Imaan yang masih menantikan keputusan ujian saringan.
Shima memberitahu, dia menunggu pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menghubunginya bagi tindakan selanjutnya dan meminta sesiapa yang bertemu dengannya pada minggu lalu untuk turut membuat ujian saringan.
“Dalam kepala fikir anak-anak saja sekarang ini. Mereka semua dah pergi test pagi tadi. Harap anak-anak saya selamat daripada Covid. Doakan kami. Siapa yang ada jumpa saya minggu lalu, minta sama-sama buat ujian calitan juga okey?
“Sekarang saya tengah tunggu KKM hubungi saya tapi daripada semalam lagi memang dah kuarantin duduk bilik bawah dan tak keluar pun,” ujarnya. — K! ONLINE