MEWUJUDKAN platform yang lebih kompetitif buat lepasan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) wajar dipertimbangkan bagi mengelak berlaku pembaziran bakat.
Selain itu, pelatih di NFDP dan AMD juga harus diterapkan dengan mentaliti tidak mudah berasa selesa dan ia perlu seiring dengan elemen kemahiran asas untuk bergelar pemain bola sepak.
Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), Datuk Ong Kim Swee, berkata banyak faktor yang mungkin menjadi penyebab perkembangan pemain tersekat, antaranya kurang mendapat minit permainan.
“Bagaimanapun, produk kita dapat daripada NFDP, peratusannya (pemain berkualiti) adalah sedikit di mana sebelum ini hanya beberapa pemain dapat memenuhi potensi seperti Arif Aiman Hanapi dan Harith Haiqal Adam Afkar.
“Bukan kata pemain Sabah, Azhad Harraz Arman (bekas pelatih AMD) tidak bagus, tetapi tugas saya adalah untuk dapatkan keputusan buat Sabah dan mungkin dia belum boleh pastikan keputusan secara konsisten. Lepasan akademi kelab ternama pun bukan semua boleh jadi pemain profesional.
“Pendapat saya, kita kena ada banyak lagi AMD di seluruh negeri bagi memastikan kita ada lebih ramai kelompok pelatih berpotensi. Apabila persaingan makin besar, mereka juga akan berusaha untuk jadi lebih baik dan ini penting supaya mereka tahu tidak ada jalan mudah,” katanya.
Dalam laporan Kosmo! semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersama Pengarah Teknikal NFDP yang baru dilantik, Oscar Gonzalez Diaz sedang giat melaksanakan beberapa inisiatif strategik dengan kerjasama NFDP bagi memperkasa program akar umbi.
Sementara iu, seorang lagi jurulatih tempatan, Sulaiman Husin mengakui harapan tinggi diletakkan kepada lepasan NFDP dan AMD kerana semua maklum program berkenaan mempunyai keperluan serba lengkap.
Tanpa menafikan ada pemain berkualiti dapat dilahirkan, Sulaiman menjelaskan sistem program berkenaan harus dilihat semula khususnya dalam aspek menentukan hala tuju pemain sejurus tamat menjalani Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bagaimanapun Sulaiman kurang bersetuju jika lepasan NFDP dan AMD dilonggokkan dalam satu-satu pasukan kerana bakal mengurangkan persaingan hingga memberi kesan kepada motivasi pemain untuk memajukan diri.
“Saya suka dengan sistem program Harimau Muda sebelum ini di mana mereka kena balik ke negeri asal terlebih dulu. Kalau khidmat mereka tidak diperlukan di negeri sendiri baharulah boleh sertai pasukan lain,” katanya.