PENGENDALI Harimau Malaya, Pau Marti Vicente harus memikirkan idea lebih segar untuk tampil lebih agresif setiap kali memperoleh peluang pada aksi dengan India di di Stadium Gachibowli, Hyderabad, malam ini.
Aksi kali ini menyaksikan Harimau Malaya bakal turun tanpa tiga tonggak utama, Arif Aiman Hanapi, Matthew Davies dan Feroz Baharudin yang pulang lebih awal ke pangkuan kelab mereka, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Bagaimanapun, Vicente yang mengakui kualiti India seakan tidak terlalu memikirkan tentang situasi itu sebaliknya mahu pemainnya tampil lebih garang untuk menyempurnakan setiap peluang terhidang.
“Saya fikir kami kena baiki aspek penyudah. Apabila berada dalam kotak penalti lawan, kami kena jadi lebih baik,” kata Vicente.
Ketika ini, bintang muda Kuala Lumpur City, Haqimi Azim Rosli dilihat calon tepat untuk mengisi tempat Arif manakala Azam Azmi Murad dijangka akan menggalas tugas ekoran ketiadaan Davies.
Di jentera serangan, Vicente dilihat mempunyai banyak pilihan memandangkan masih memiliki Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Fergus Tierney.
Pemain Harimau Malaya juga pastinya sedar cabaran kali ini kerana India begitu bermotivasi untuk melunaskan misi balas dendam kerana tewas 2-4 pada Pestabola Merdeka 2023 sekali gus membolehkan The Blue Tigers menamatkan kemarau kemenangan dalam 11 perlawanan terakhir.
Sejak mula menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan, Vicente sudah terbukti mempunyai kemampuan apabila merekodkan tiga kemenangan, sekali seri dan satu kekalahan.
Jurulatih dari Sepanyol itu memulakan tugasan dengan langkah kanan ketika menjulang trofi Pestabola Merdeka, kalahkan Filipina 2-1 dan menang 1-0 dengan Lebanon di perlawanan akhir.
Kemudiannya, Harimau Malaya di bawah Vicente seri 1-1 dengan Auckland FC sebelum tewas 4-0 kepada New Zealand dan kembali berjaya mengatasi Laos 3-1, Khamis lalu.
“Pau Marti berasal dari bandar saya. dan bekerja dalam pasukan Barcelona B sebagai penolong jurulatih. Mereka (Harimau Malaya) mempamerkan permainan bola sepak yang bagus dan ia akan menjadi perlawanan sukar untuk kedua-dua pasukan,” kata pengendali India, Manolo Marquez.