LUMUT – Dua pemancing warga tempatan yang mengalami kerosakan bot diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 1.2 kilometer (km) barat daya Pulau Katak, di sini petang semalam.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, dalam kejadian tersebut salah seorang mangsa telah menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak.
Katanya, mereka meminta bantuan kerana enjin bot tersebut tidak dapat dihidupkan dan sedang hanyut kerana bot pancing dinaiki itu tiada sauh untuk dilabuhkan.
“Sejurus Pusat Operasi Maritim Negeri Perak menerima aduan terbabit, bot ronda APMM telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi mengesan dan memberi bantuan kepada mangsa tersebut.
“Mangsa, Muhammad Nurafiq Ahmad, 25, dan Muhammad Iqhwan Mazlan, 26, telah ditemui dalam keadaan baik dan selamat serta bot telah diiring ke jeti Perikanan Kampung Acheh untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini, hari ini.
Mohamad Shukri berkata, komuniti maritim disarankan agar membuat persediaan sewajarnya sebelum turun ke laut dan menangguhkan sebarang aktiviti sekiranya keadaan laut bergelora.
Beliau turut minta agar memastikan bot dalam keadaan baik serta dilengkapi dengan peralatan seperti jaket keselamatan, alat komunikasi dan peranti Personal Located Beacon (PLB) untuk menghadapi sebarang situasi kecemasan,” katanya. – KOSMO! ONLINE