FREIBURG – Jerman ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila merekodkan kemenangan terbesar dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah (UNL) selepas membelasah Bosnia-Herzegovina 7-0 di Stadium Europa-Park awal pagi semalam.
Kemenangan itu sekali gus melonjakkan semangat barisan pemain Jerman dalam perjalanan mereka menghadapi Piala Dunia 2026 selepas terlebih awal mengesahkan tempat ke suku akhir UNL tahun depan.
Pengendali Jerman, Julian Nagelsmann berpuas hati dengan keseluruhan prestasi anak-anak buahnya untuk merekodkan kemenangan terbesar sejak beliau dilantik mengambil alih pasukan pada tahun lalu.
“Kami tidak mengalami sebarang kecederaan daripada perlawanan itu dan corak permainan menekan kami juga sangat bagus.
“Dapat menjaringkan tujuh gol menentang pasukan yang bertahan sangat ke bawah adalah sesuatu yang luar biasa.
“Kami mahu memenangi penguasaan bola dan bermain menyerang sepantas yang mungkin. Jadi saya amat berpuas hati dengan fasa peralihan permainan ditunjukkan pemain sejak kebelakangan ini,” katanya.
Penyerang Borussia Monchengladbach, Tim Kleindienst dan bintang Bayer Leverkusen, Florian Wirtz masing-masing berjaya meledak dua gol dalam aksi itu.
Baki tiga lagi jaringan diperoleh menerusi Jamal Musiala, Kai Havertz dan Leroy Sane.
Sebagai rekod, ini adalah kali pertama Jerman berjaya menjaringkan tujuh gol dalam aksi kompetitif sejak kali terakhir menewaskan Liechtenstein 9-0 dalam kelayakan Piala Dunia pada November tiga tahun lalu. – AGENSI