PETALING JAYA – Ingin menarik perhatian rakan dipercayai motif seorang lelaki menyebarkan surat palsu menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri (TPM) II, Datuk Seri Fadillah Yusof yang dikesan dihantar kepada individu di Sarawak.
Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain selepas pihaknya menahan jaga berusia 32 tahun di Samarahan, Sarawak, semalam.
Kata beliau, pihaknya menerima laporan polis dakwaan menerima tawaran kerja palsu daripada suspek sebagai pegawai setiausaha pejabat di pejabat TPM.
“Pengadu mendakwa mengenali suspek pada Julai lalu dan suspek telah meyakinkannya bahawa dia adalah pengiring rapat kepada TPM II.
“Pengadu berasa yakin dan percaya lalu menyerahkan dokumen peribadi sebelum suspek menyerahkan kepadanya surat iaitu perlantikan sebagai pegawai setiausaha pejabat dan permohonan kuarters kerajaan.
“Hasil semakan dengan rakan kakak pengadu telah mengesahkan bahawa bahawa kedua-dua surat tersebut adalah tidak wujud.
“Pengadu bertindak membuat laporan polis kerana rasa tertipu dan takut dokumen yang pengadu telah berikan kepada suspek disalahgunakan dengan tujuan yang menyalahi undang-undang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, Razarudin memaklumkan pihaknya telah menahan suspek pada pukul 12.45 tengah hari di pondok pengawal Pejabat Daerah Samarahan dan polis turut merampas dua unit telefon bimbit.
Jelasnya, siasatan mendapati suspek yang bekerja di Pejabat Daerah Samarahan sejak tahun 2018 telah menawarkan pelbagai jenis pekerjaan dengan kerajaan persekutuan kepada beberapa orang rakan-rakan termasuk pengadu pada hujung Oktober.
“Suspek mengaku membuat tawaran ini dan ia (tawaran pekerjaan) tidak wujud. Suspek juga mengatakan dia membuat tawaran ini kerana ingin perhatian daripada rakan-rakan bahawa mempunyai kenalan orang atasan dan boleh membantu mereka,” katanya.
Tambah Razarudin, suspek juga mengatakan tidak menyalahgunakan butiran peribadi yang diterima dan tiada meminta apa-apa ganjaran daripada rakan-rakannya.
Katanya, tujuan suspek bertindak sedemikian kerana dia suka apabila dilayan oleh rakan-rakannya sebagai orang penting.
“Dia (suspek) menyatakan telah musnahkan surat-surat tawaran kerja palsu yang dia berikan kepada rakan-rakannya termasuk pengadu mengunakan mesin pencincang kertas di Pejabat Daerah Samarahan.
“Semakan terhadap telefon bimbit yang dirampas turut terdapat perbualan antara suspek dan pengadu berkenaan kes ini,” katanya.
Justeru itu, siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan manakala suspek akan dipohon reman hari ini. – KOSMO! ONLINE.