PETALING JAYA – Tindakan pantas seorang pekerja stesen minyak memadamkan motosikal yang mula terbakar berjaya menyelamatkan kenderaan tersebut daripada hangus 100 peratus.
Menerusi video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial, kejadian berlaku pada 15 November lalu di sebuah stesen minyak di Jalan Mawai, Kota Tinggi, Johor.
Pada video tersebut, kelihatan seorang penunggang sedang memeriksa motosikalnya, manakala isteri bersama anaknya duduk menunggu lelaki berkenaan.
Sewaktu lelaki itu mahu menghidupkan motosikal tersebut, tidak semena-mena api keluar dan dia sedaya upaya memadamkan sendiri kebakaran.
Kejadian itu disedari pekerja stesen minyak itu yang segera berlari ke arah lelaki itu dengan membawa alat pemadam api sekali gus berjaya memadamkan kebakaran berkenaan.
Dalam pada itu, pekerja dikenali sebagai Azri turut menerima penghargaan daripada majikannya susulan tindakan pantasnya yang bukan sahaja mengelakkan motosikal itu hangus, bahkan menyelamatkan nyawa keluarga tersebut.
Pada ruangan komen, orang ramai turut memuji tindakan Azri selain bersimpati dengan keluarga tersebut susulan kebakaran pada motosikal itu.
“Kenapa rasa sebak tengok video ni. Sebab tengok laki tu dengan isteri dan anak kecil dia. Nampak bersungguh padam api dengan tangan, mungkin motosikal tu saja dia ada untuk bergerak,” komen pengguna X.
“Tindakan yang bijak, terima kasih bro,” kata individu lain.
“Bagus staf dia. Jauh juga bukan dekat, dia peka betul. Bagi bonus,” kata seorang individu. – KOSMO! ONLINE
Tengok ni aksi pantas staff BHP ni, yang berjaya mengawal situasi kecemasan dengan cekap! di BH Petrol Jalan Mawai. Kami bangga dengan anda!
🎥bhpetroljalanmawai pic.twitter.com/gCFIk835lV
— #UpdateInfo🇲🇾🌍 (@update11111) November 16, 2024