fbpx

Anwar singkap isu genosid Gaza di APEC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (berdiri depan, kanan sekali) pada sesi Pemukiman Pemimpin Ekonomi APEC di Lima, Peru. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi membangkitkan isu terkait genosid yang berlaku di Gaza pada hari terakhir sesi Pemukiman Pemimpin Ekonomi APEC di Lima, Peru.

Anwar menerusi hantaran Facebook berkata, pada sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) kali ini, ia tidak hanya berkisar kepada perkara berkait ekonomi dan perdagangan, bahkan membicarakan isu genosid tersebut.

“Adalah sangat menyenangkan untuk melihat APEC yang kebiasaannya memberi fokus kepada ekonomi dan perdagangan, turut membincangkan kekejaman terhadap rakyat di bumi itu yang kita memilih untuk abaikan dan ia bertentangan dengan semangat sebenar kemanusiaan,” katanya hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut menekankan keperluan untuk APEC bangkit pada saat ini, bukan sebagai pengikut arus global, tetapi sebagai peneraju yang menetapkan piawaian untuk Asia-Pasifik yang inklusif, inovatif dan berdaya tahan.

“Saya juga sebut soal kerangka Ekonomi Madani sebagai bukti jelas yang menggabungkan kekuatan ekonomi dengan keadilan sosial, penjagaan alam sekitar dan keterangkuman.

“APEC harus memperkukuh peranannya sebagai inkubator idea dan menyokong dasar yang mengangkat pekerja, memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta meletakkan kelestarian sebagai teras kemajuan, untuk mencipta rantau yang lebih adil dan penuh belas ihsan.

“Malah, APEC juga perlu memanfaatkan semangat inovasi memacu usaha kolektif bagi tenaga bersih, kemajuan teknologi dan amalan lestari yang saling melengkapi,” katanya.

Terkait isu keselamatan makanan, beliau menggesa APEC mengambil inisiatif MYSaveFood Malaysia, yang berjaya mengurangkan separuh pembaziran makanan selain usaha mempromosikan amalan pertanian mampan.

“Mengakhiri sesi intervensi, saya nyatakan bahawa pemimpin ekonomi APEC harus tinggalkan kesan menerusi usaha mereka terhadap rakyat keseluruhannya,” katanya.

Kesemua pemimpin Ekonomi APEC juga bersetuju mengesahkan Deklarasi Machu Pichu yang menekankan inovasi, digitalisasi, tenaga bersih dan keselamatan makanan bagi menyokong agenda inklusif yang memberi manfaat kepada rakyat untuk memperkukuh daya saing perniagaan dan meningkatkan kemakmuran serantau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI