JOHOR BAHRU – Malaysia tidak perlu mengeluarkan peta sempadan negara baharu susulan tindakan Filipina mengeluarkan peta terkini yang menyaksikan pertindihan dengan kawasan maritim negara di Laut China Selatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan mengeluarkan peta baharu menunjukkan terdapat perubahan, sedangkan peta Malaysia tiada sebarang perubahan.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan peta rasmi yang dikeluarkan Malaysia masih terpakai sehingga hari ini dan kawasan negara serta kedaulatan negara tetap dipertahankan melalui saluran diplomasi mengikut undang-undang antarabangsa.
“Mereka (Filipina) ubah sempadan peta dan memasuki kawasan kita, peta kita tetap peta kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serahan Zakat Wakalah Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol) di Masjid Muhajirin, Masai, di sini hari ini.
Mohamed Khaled bagaimanapun menjelaskan bahawa tindakan Filipina bukanlah satu bentuk serangan terhadap Malaysia sebaliknya hanya melibatkan isu pertindihan kawasan.
“Pihak berkuasa sentiasa mengadakan rondaan secara bersepadu antara Tentera Laut, Tentera Darat dan juga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. Kita juga lakukan protes dan bantahan terhadap tindakan tersebut berlandaskan saluran undang-undang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE