DUNGUN – Pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V yang dituduh membunuh tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dalam satu kemalangan pada 9 Oktober lalu diperintah ditahan sebulan lagi di Hospital Permai, Johor Bahru oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Nur Amira Fatihah Osman memerintahkan demikian bagi membolehkan laporan psikiatri terhadap tertuduh, Norizan Ismail, 49, dilengkapkan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Azizan Abdullah memaklumkan mahkamah, pelanjutan pemeriksaan mental terhadap Norizan tersebut dimohon pengurusan Hospital Permai.
Beliau menjelaskan, ia berikutan tertuduh yang ditahan di Hospital Permai sejak 15 Oktober lalu tidak memiliki rekod pemeriksaan mental sebelum ini.
Berdasarkan tiga pertuduhan, Norizan didakwa menyebabkan kematian Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20; dan Khairil Anwar Jamaludin, 20.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Pantai berhampiran UiTM Dungun, di sini pada pukul 7.30 malam, 9 Oktober lalu.
Norizan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman hukuman mati atau penjara antara 30 tahun dan 40 tahun serta hukuman minimum 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Kosmo! 11 Oktober lalu melaporkan, tiga pelajar UiTM Dungun maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dua motosikal dinaiki mereka dirempuh kenderaan Honda HR-V dipandu Norizan. – KOSMO! ONLINE