fbpx

Lesap hampir RM1 juta lepas terima mesej tawar pelaburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Keterujaan seorang juruteknik untuk mendapatkan keuntungan hasil pelaburan disertai bertukar duka apabila mengalami kerugian sebanyak RM908,305.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, lelaki yang bekerja juruteknik syarikat cari gali berusia 48 tahun itu memaklumkan, dia menerima mesej yang menawarkan pelaburan dalam talian sekitar Ogos lalu ketika berada di Iraq.

Menurutnya, sindiket penipuan menawarkan pelaburan yang memberi pulangan keuntungan berlipat kali ganda dalam tempoh satu jam.

“Tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan, mangsa memuat naik aplikasi yang diarahkan dan mengikuti kelas dalam talian dengan pautan diberikan sindiket.

“Mangsa diberi tunjuk ajar cara untuk berurus niaga dan keuntungan lumayan akan diperolehi dengan tempoh singkat.

“Selepas pulang ke Kota Tinggi, mangsa telah melakukan pembayaran menerusi beberapa transaksi ke dalam akaun berbeza berjumlah RM908,305 antara September hingga bulan ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Kumar berkata, selepas pembayaran dibuat, mangsa mendapati pelaburan yang disertainya telah merekodkan keuntungan RM8 juta.

Ujarnya, mangsa berhasrat untuk mengeluarkan keuntungan namun sindiket mengarahkan mangsa membayar RM100,000 sebagai wang cagaran.

Tambahnya, ekoran merasakan dirinya tertipu mangsa membuat laporan, semalam di Kota Tinggi.

“Susulan laporan diterima polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI