BEIJING – Lapan orang maut, manakala 17 lagi cedera dalam kejadian tikaman di luar sebuah sekolah di timur China, lapor saluran berita CNN.
Seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan di Kolej Vokasional dan Teknikal Seni dan Kraf Wuxi Yixing di bandar Wuxi pada kira-kira pukul 6.30 petang (waktu tempatan), demikian menurut kenyataan polis tempatan.
Kenyataan itu menambah, suspek telah menamatkan pengajian dari sekolah itu pada tahun ini dan melakukan serangan tersebut selepas gagal memperoleh diploma.
“Ia berikutan keputusan peperiksaannya yang lemah dan dia tidak berpuas hati dengan gaji latihan industri yang diterima.
“Dia mengaku melakukan jenayahnya tanpa teragak-agak,” kata polis.
Siasatan sedang dijalankan berhubung kes itu dan usaha sedang dibuat untuk ‘menguruskan akibat insiden’ tersebut. – AGENSI