KAJANG – Terlalu rapat selain berkongsi minat sama, anak ketiga kepada Allahyarham S Atan iaitu Rozaini mendedahkan bapanya pernah meminta dia untuk meneruskan legasi sebagai komposer.
Rozaini atau mesra disapa Dani, 36, bagaimanapun mengakui perkara tersebut terlalu sukar apatah lagi ingin setara dengan status bapanya sebagai komposer hebat tanah air.
Kendatipun turut berkerja sebagai penuzik, Dani sedar diri bahawa kehebatan bapanya toada galang ganti.
“Ketika sakit dia pernah luahkan hasrat untuk saya gantikan tempatnya (sebagai komposer). Saya beritahu saya tidak mampu. Saya hanya boleh jadi ahli muzik seperti sekarang.
“Apa yang saya harapkan dapat jadi bapa seperti dia buat anak-anak saya. Dia seorang yang bertanggungjawab dan penyayang,” kata Dani kepada Kosmo! Online.
Berkongsi kenangan bersama arwah, Dani berkata mereka pernah berkolaborasi dalam menyiapkan susunan lagu terbaharu ciptaan bapanya.
“Sejak kebelakangan ini saya yanv bantu buat nota lagu. Arwah akan akan main piano dan saya akan rekod atau tulis nota lagu.
“Kemudian saya akan rujuk semula kepadanya. Kalau dia tak suka saya akan tukar semula.
“Memang remeh kerja dengan bapa sebab dia seorang yang teliti. Dalam bab kerja dia sangat tegas, saya pernah demam sebab perlu tukar susunan lagu saat akhir,” kongsinya.
Paling penting kata Dani, muzik sentiasa menjadi keutamaan sepanjang hayat Allahyarham Datuk S. Atan malah komitmen bapanya tidak pernah luntur meskipun ketika kesihatan merosot.
Dani turut mengimbau kembali bagaimana arwah bapanya memberi galakan kepada anak-anak untuk belajar muzik sejak kecil.
“Dia garang tapi sayangkan anak-anak. Masa kecil dia awalnya ajar saya muzik kemudian dihantar ke kelas sebab tak sanggup nak marah anak-anak.
“Rasanya dalam hidup dia memang tentang muzik. Dia tiada hobi lain. Cuma sejak sekarang ini dia suka menonton filem di televisyen,” tuturnya.
Allahyarham S. Atan, atau nama sebenarnya Hashim Said, menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu petang di kediamannya di Kajang akibat komplikasi jantung.
Jenazah akan disolatkan di Masjid Jamek Bandar Kajang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, pagi ini.
Hasil perkongsian hidup dengan Datin Norizan Yeob, Allahyarham dikurniakan enam anak dan 10 cucu. Beliau juga mempunyai empat anak daripada perkahwinan terdahulu. – KOSMO! ONLINE