KAJANG — Tenang, isteri kepada Allahyarham Datuk S. Atan, Datin Norizan Yeop menzahirkan keredaan dan bersyukur dapat memenuhi permintaan terakhir sebelum suaminya meninggal dunia petang tadi.
Kata Norizan, 60, dia berpeluang berbakti memandikan arwah suami buat kali terakhir sebelum komposer itu dijemput Ilahi pukul 3.53 petang.
“Alhamdulillah pagi tadi saya berpeluang buat kali pertama mandikan arwah dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki. Selalunya arwah menolak kalau saya nak mandikannya, dan memilih untuk bersihkan diri sendiri. Tapi hari ini saya dapat lakukan buat kali terakhir untuknya,” kata Norizan kepada Kosmo! Online.
Menceritakan lagi detik akhir, arwah juga enggan mengambil sejenis ubat baharu dan tidak mahu dibawa membuat rawatan di hospital.
“Saya penuhi segala permintaan arwah apabila dia enggan makan ubat baharu, termasuk tidak mahu dirawat di hospital.
“Selain itu, pagi tadi selepas azan subuh dia memberi isyarat lima jari iaitu jumlah nilai wang yang ingin disedekahkan.
“Saya ingatkan dia nak sedekah RM5 tapi RM50. Dia gagahkan juga masukkan duit itu ke dalam kotak khas yang diperuntukkan
Menurut Norizan, Allahyarham seolah-olah sudah merasai tanda-tanda akan pergi.
“Dia memang macam sudah tahu akan pergi, tapi dia tak berterus terang dengan saya. Jumaat minggu lepas, sebelum kami tidur dia cakap ada benda yang kita tak boleh elak, antaranya perpisahan.
“Dia cakap kepada saya yang kami akan berpisah. Saya akur dan mengiyakan kata-katanya. Pesanan itulah yang selalu diungkapkan,” katanya.
Berkongsi saat terakhir sewaktu Allahyarham dijemput Ilahi, Norizan berkata, suaminya pergi dalam keadaan tenang di samping anak-anak.
“Petang tadi sebelum arwah meninggal dunia, kami anak-beranak sempat berkumpul dan genggam tangannya serta tak henti-henti ajar dia mengucap.
“Mudah-mudahan dia dapat ikut dan saya nampak pernafasannya semakin perlahan dan pergi dengan tenang,” katanya.
S Atan atau nama sebenarnya, Hashim Said, 75, meninggal dunia di kediamannya di Kajang, petang ini akibat komplikasi jantung.
Jenazah akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Jamek Bandar Kajang pada jam 8 pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, di sini, jam 11 pagi.
Hasil perkongsian hidup, Allahyarham dan Norizan dikurniakan enam orang anak dan 10 cucu.
Arwah juga memiliki empat lagi anak hasil perkahwinan terdahulu. – KOSMO! ONLINE