PETALING JAYA – “kita kehilangan seorang tokoh muzik yang hebat.”
Demikian reaksi penyanyi Datuk Jamal Abdillah apabila mengetahui berita pemergian komposer Datuk S Atan yang meninggal dunia pada pukul 3.35 petang di kediamannya di Kajang, hari ini.
Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Mohd Ali, 65, berkata, Allahyarham tidak memaklumkan tentang keadaan kesihatannya ketika mereka saling berbalas mesej beberapa hari lalu.
“Kami mempunyai satu kumpulan (group) WhatsApp dan sering berkongsi tentang pengisian agama dan perkara-perkara positif.
“Seingat saya, kami ada berbalas mesej sekitar empat atau tiga hari lalu. Tiada apa yang kami bualkan, cuma dia sekadar memberi respons terhadap mesej tazkirah subuh yang saya kirimkan itu,” katanya ketika dihubungi HibGlam hari ini.
Dalam pada itu, Jamal berkongsi kenangan bekerjasama dengan Allahyarham yang merupakan ‘watak utama’ dalam karier nyanyiannya.
“Beliau seorang yang tegas apabila berada dalam studio. Walaupun tidak banyak bercakap, arwah sangat fokus apabila bekerja dan tahu bagaimana untuk mencantikkan suara penyanyi agar bersesuaian dengan lagu.
“Saya sangat terhutang budi dengan beliau yang banyak membantu saya mencipta nama dalam industri. Lagu Perjalananku yang dihasilkan beliau telah melonjakkan nama saya.
“Secara peribadi saya sangat suka dengan karya yang dihasilkan beliau kerana bukan sahaja gaya penulisan yang indah dan puitis tetapi penuh dengan ciri-ciri kemelayuan,” katanya.
S Atan atau nama sebenarnya Hashim Saad menghembuskan nafas terakhir pada usia 75 tahun.
Terdahulu, Allahyarham mendapat rawatan di hospital selama lima hari pada 16 Oktober lalu dipercayai akibat masalah sesak nafas.
Pada 2006 S Atan pernah dimasukkan ke hospital kerana menghidap angin ahmar.
Sepanjang lebih empat dekad dalam industri, difahamkan beliau sudah mencipta lebih 1,000 lagu hit untuk penyanyi lama dan baharu.
S Atan turut digelar Bapa Lagu Raya kerana karya ciptaannya malar segar dan rancak diputarkan setiap kali menjelang Syawal.
Antaranya lagu Menjelang Hari Raya dendangan Datuk DJ Dave, Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Allahyarham Datuk Sudirman Arshad), Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone), Salam Aidilfitri (Datuk Jamal Abdillah), Hari Mulia (Datuk Sheila Majid) dan Indah Beraya Di Desa (Azlina Aziz). – KOSMO! ONLINE