fbpx

Sri Ganes dinobat Anugerah Tokoh Mahir 2024 hargai usaha dalam bidang TVET

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadillah Yusof (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Sri Ganes di Putrajaya baru-baru ini.

PETALING JAYA – Perintis program kenderaan elektrik (EV) dan dron di Malaysia, Datuk P. Sri Ganes telah menerima Anugerah Tokoh Mahir 2024 sebagai penghargaan atas usaha beliau memperkukuhkan Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) di negara ini.

Anugerah Tokoh Mahir adalah untuk mengiktiraf individu dan organisasi yang memainkan peranan penting dalam memartabatkan latihan kemahiran dan dijadikan teladan bagi masyarakat.

Beliau telah menerima anugerah daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir 2024 di Putrajaya baru-baru ini.

Pengiktirafan tersebut diberikan kepada Sri Ganes sebagai menghargai sumbangan beliau selaku Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SG Education Group dalam memperkasakan serta memasyarakatkan TVET di Malaysia.

Sri Ganes melalui institusi latihan yang diusahakannya itu menawarkan program latihan yang inovatif dan relevan dengan keperluan semasa termasuk dalam bidang teknologi baharu muncul, EV, dron serta kecerdasan buatan (AI).

Mengulas mengenai kejayaan tersebut, Sri Ganes bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mengiktiraf usahanya selama ini sejak tahun 1999.

“Ini merupakan satu pengiktirafan kepada usaha saya sejak 1999 untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja kerkemahiran yang berupaya menjana pendapatan tinggi di Malaysia,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Sri Ganes juga menerajui pelbagai inovasi pendidikan termasuk konsep “Belajar Sekarang, Bayar Kemudian” yang memberi peluang kepada pelajar untuk mengakses latihan kemahiran tanpa perlu membayar wang
pendahuluan.

Langkah itu katanya, bertujuan membuka pintu kepada lebih ramai individu untuk mengejar impian tanpa kekangan kewangan.

Institusi latihan beliau kini menawarkan pelbagai program relevan termasuk bidang teknologi baharu seperti kenderaan elektrik dan kecerdasan buatan yang bertujuan membekalkan tenaga mahir sejajar dengan keperluan semasa industri.

Dalam pada itu, Sri Ganes menekankan kepentingan kerjasama antara sektor awam dan swasta untuk memantapkan TVET.

“Sokongan berterusan daripada kerajaan dan sektor industri adalah kunci kepada kejayaan program TVET yang fleksibel dan berkesan.

“Peluang latihan praktikal, pendedahan teknologi terkini serta akses global perlu ditingkatkan bagi memastikan graduan kita bersedia menghadapi cabaran,” katanya.

Menyedari keperluan untuk sentiasa relevan dalam dunia teknologi yang pesat berubah, Sri Ganes menjadi pelopor dengan memperkenalkan program kemahiran dron pertama di Malaysia pada 2016.

Program ini diakreditasi oleh Jabatan Kemahiran pada 2019, menjadikan SG Education Group institusi pertama di negara ini yang menawarkan latihan dron bertaraf nasional. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI